Sumber imej: kosmo.com.my
Pagi ini negara kita dikejutkan dengan berita sebuah kontena telah menghempap sebuah Perodua Bezza bersama beberapa deretan kereta lain yang berhenti di lampu isyarat. Kejadian yang berlaku pada awal pagi di Bukit Tengah, Pulau Pinang itu telah menyebabkan seorang wanita berusia 20-an yang memandu Perodua Bezza meninggal di tempat kejadian.
Selain itu, kemalangan ngeri itu turut menyebabkan seorang lelaki berusia 25 tahun yang memandu Honda Jazz cedera akibat tersepit sebelum berjaya diselamatkan orang awam. Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima laporan sekitar jam 9.31 pagi. Sejurus tiba di lokasi, pihak bomba mengesahkan kemalangan itu turut melibatkan sebuah Toyota Atlas, sebuah treler dan juga lori tiga tan.
Tonton video di sini:
Jika melihat kepada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diambil dari kereta saksi kejadian, terdapat sebuah treler dari arah kanan telah membelok dalam kelajuan yang agak tinggi sehingga menyebabkan muatan kontena hilang keseimbangang sebelum menghempap deretan kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat tersebut.
Rata-rata warganet yang melihat video tersebut juga turut terkejut kerana lori kontena itu kelihatan laju semasa membelok selain berharap agar kes ini akan disiasat dengan lebih terperinci. Sebenarnya, ini bukan kali pertama kes melibatkan lori dengan muatan berat terbalik semasa membelok. Apabila melihat pada video, kita akan lihat lori itu sebenarnya dalam kelajuan yang tidak sesuai disebabkan oleh beberapa pendapat:
- Pemandu lori sudah tahu muatan yang dibawanya berat, kenapa membelok seperti tidak membawa muatan?
- Jalan pada waktu pagi adalah sangat sesak, maka kenapa perlu memecut laju?
Jika melihat kepada insiden ini, maka kita akan faham kenapa kerajaan membuat larangan kenderaan berat daripada memasuki jalan-jalan utama yang sesak pada waktu puncak. Sebab pada waktu itu, kenderaan akan memenuhi jalan raya dan sekiranya berlaku kejadian seumpama ini, sudah pasti lebih banyak nyawa yang terlibat!
P/S: Minggu lepas di Lebuhraya Karak pun jumpa banyak lori kontena yang laju siap guna laluan paling kanan. Mungkin dia lupa dia bawa lori, sebab sebelum tu dia bawa kereta sport?
Sumber imej: sinarharian.com.my
Berita lanjut disini.