Lonjakan Covid-19 Di Malaysia Menyebabkan Kekurangan Chip & Industri Automotif Dunia Terjejas Teruk
Akibat daripada jangkitan Covid-19 yang meningkat di Malaysia (kes harian mencecah 20 ribu), banyak industri yang terjejas dengan teruk. Ini termasuk industri automotif, apabila pandemik itu menyebabkan masalah kekurangan cip semikonduktor dan komponen lain.
Ya, mungkin kita kata Malaysia tidak sehebat negara maju dalam menghasilkan rantaian bekalan teknologi seperti di negara Jepun, Taiwan atau Korea Selatan. Namun ramai antara kita yang tak tahu sebenarnya Malaysia merupakan pusat utama dalam ujian dan pembungkusan cip.

Jadi, disebabkan oleh masalah ini, banyak syarikat automotif di seluruh dunia turut terjejas teruk kerana kekurangan cip yang datangnya dari kilang di Malaysia. Ini termasuk Ford Motor Co. yang terpaksa menghentikan pemasangan Fiesta di Jerman dan juga F-150 di Amerika Syarikat akibat masalah kekurangan cip dari Malaysia.

Bagi Toyota pula, mereka terpaksa mengurangkan jumlah pengeluaran global sekitar 40 peratus pada bulan September 2021 selain General Motors pula menjangkakan mereka terpaksa mengurangkan 100,000 jumlah pembuatan kenderaan. Selain itu, Semiconductor Industry Association dari AS turut mengatakan syarikat automotif dari Amerika Syarikat sebenarnya yang banyak terkesan kerana AS mengimport lebih banyak cip dari Malaysia berbanding negara lain di seluruh dunia.

Bukan setakat masalah kekurangan cip. Masalah tempoh penghantaran bagi cip sedia ada juga bertambah daripada lapan hari hingga 20 hari. Jadi, masalah kekurangan dan kelewatan dalam mendapatkan cip semikonduktor ini bukan satu isu yang remeh. Ia melibatkan kerugian sehingga jutaan ringgit. Malah jika berterusan, ia mampu memburukkan lagi jualan kenderaan yang secara langsung meningkatkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh industri automotif.