Lepas Pindah Ke Manchester United, Semua Kereta Ronaldo Harus Patuh Kelajuan 30 KM/J

Umum ketahui Christiano Ronaldo kini sudah berpindah semula ke Manchester United selepas beliau secara rasminya memeterai perpindahan bernilai€15 juta. Ditawarkan dengan ‘gaji’ RM 2.7 juta seminggu, berita perpindahan itu turut membuatkan saham Manchester United melonjak sehingga 8 peratus! Malah, kelab itu turut berjaya menjual jersi pemain bola sepak itu sebanyak lebih 400,000 helai dalam masa kurang 12 jam selepas dilancarkan.

Terbaru, Ronaldo juga telah berpindah ke rumah baru bernilai £6 juta (RM 34.33 juta) di salah sebuah kawasan perumahan mewah di Alderley Edge, Cheshire, England. Di sana, beliau turut membawa bersama beberapa koleksi kereta mewahnya termasuk supercar Ferrari Monza, Bugatti Chiron serta Bugatti Veyron Grand Sport.

Semuanya kedengaran hebat bukan? Tapi mungkin ada satu perkara yang agak kurang disukai oleh Ronaldo sepanjang berada di tempat baru. Beliau yang turut terkenal sebagai ‘supercar-loving striker’ terpaksa patuh pada had kelajuan di sana iaitu 20 mph atau 32 km/j sahaja! Bayangkan kereta yang kesemuanya mampu memecut sehingga 300 km/j namun kini terpaksa dipandu dengan had laju yang sangat perlahan. Dah macam had laju yang ditetapkan bila lalu kawasan persekolahan je ni.

Sememangnya di Alderley Edge ni, bermacam jenis kereta mewah yang kita akan jumpa sebab kebanyakan penduduk di sana bukan calang-calang orang. Tetapi pihak Majlis Daerah Timur Cheshire tetap bertegas dan komited untuk mengurangkan had laju untuk mengelakkan sebarang rasa tidak senang di kalangan penduduk di sana.
