Malang buat seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga tahun apabila dia telah tercampak keluar dari sebuah kereta Honda City berwarna kelabu yang dipercayai dipandu oleh ahli keluarganya di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu. Dalam kejadian itu, kanak-kanak itu juga turut dilanggar oleh dua kenderaan lain iaitu sebuah Honda putih dan sebuah Perodua Ativa merah sebelum diselamatkan oleh seorang penunggang motosikal yang membawa mangsa ke bahu jalan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Supritendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihak polis telah menyedari tentang kejadian itu melalui sebuah rakaman video yang tular. Menurut beliau lagi, kejadian itu mungkin berpunca daripada kegagalan pemandu untuk memastikan pintu kereta ditutup dengan kemas selain kegagalannya juga untuk memastikan kanak-kanak malang itu memakai tali pinggang keledar.
Selain itu, pihak polis juga dalam usaha untuk mengesan kenderaan, pemandu, mangsa yang terlibat serta saksi kejadian dan juga pemilik rakaman video itu untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan. Individu yang ingin membantu siasatan juga diminta tampil di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau hubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairul Anuar Abdul Aziz di talian 09-7752355. Kini kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.