Korea Selatan Denda Mercedes-Benz Akibat Pengiklanan Palsu
Pihak pengeluar kenderaan mewah Jerman, Mercedes-Benz bakal dikenakan denda oleh Korea Selatan sebanyak 20.2 bilion won (RM 70.78 juta).
Akibat daripada pengiklanan kadar pelepasan gas kenderaan diesel oleh Mercedes-Benz yang dikatakan palsu, Korea Selatan telah bertindak untuk mendenda syarikat pengeluar kenderaan mewah terbabit. Mengikut Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea (KFTC), mereka mendapati pihak Mercedes- Benz telah memasang perisian haram dalam kenderaan keluaran mereka supaya dapat membantu mengurangkan tahap bacaan pencemaran dan kadar pelepasan kenderaan jenis diesel mereka. Jika dikaji, kadar pelepasan gas kenderaan diesel sebenar mereka adalah lebih tinggi berbanding yang diiklankan atau oleh kenderaan yang diuji untuk pensijilan.
Menurut satu kenyataan daripada KFTC, “Adalah bermakna untuk mengenakan sekatan terhadap pengendali jualan kereta import no.1 negara kerana menghalang pilihan pembelian rasional pengguna dengan iklan palsu dan mengelirukan mengenai prestasi pengurangan pelepasannya walaupun selepas skandal Dieselgate.”
Menurut KFTC lagi, pengeluar kenderaan mewah Jerman itu juga turut membuat pengiklanan palsu bahawa pelepasan gas oleh kenderaan mereka kekal pada tahap minimum dan memenuhi piawaian pelepasan gas Euro 6 di antara Ogos 2013 dan juga Disember 2016.
Ini bukan kali pertama KFTC mengenakan denda tertentu kepada pihak pengeluar kenderaan. Pada tahun 2021, pihak KFTC pernah mendenda pihak Audi-Volkswagen Korea, Nissan Motor Corp dan juga Porsche AG kerana insiden penipuan emisi yang sama.