Kini Domino’s Pizza Pula Ada Kereta Robot Hantar Piza
Robot penghantar piza. Mesti unik dan berbeza berbanding sebelumnya kan?
Beberapa hari lepas, pihak Domino telah memperkenalkan robot penghantar piza di Houston, Amerika Syarikat di mana mereka telah menggunakan robot kereta pandu sendiri (fully autonomous) daripada syarikat Nuro. Macam mana pelanggan nak dapatkan perkhidmatan robot ni?
Caranya cukup mudah dan lebih kurang sama seperti menggunakan khidmat rider seperti sebelumnya. Yang berbeza hanyalah dulu mereka menggunakan manusia dan kini, mereka menggunakan robot. Pelanggan di sekitar kawasan Woodland Heights di Houston dapat memilih penghantaran robot dan mereka akan menerima teks dengan kemas kini mengenai lokasi kereta robot. Selain itu, mereka juga akan menerima kod berangka untuk mengambil pesanan mereka. Bila kereta robot sampai, pelanggan cuma perlu masukkan kod tersebut di skrin sentuh bot dan pintu kereta itu akan terbuka untuk menyajikan makanan yang dipesan.
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Domino’s Pizza mencuba sesuatu yang baru dalam khidmat penghantaran makanan. Sekitar tahun 2013, Domino’s pernah menggunakan drone untuk menghantar piza di sekitar United Kingdom (UK). Kemudian sekitar tahun 2017, mereka menggunakan self-driving Ford Fusion hybrid untuk menghantar pesanan kepada pelanggan bertuah sekitar Ann Arbor, Michigan.
Sebenarnya, Domino’s Pizza bukan satu-satunya syarikat makanan segera di dunia yang menggunakan teknologi sebegini. Malah sekitar tahun 2018, Pizza Hut mengumumkan mereka bakal bekerjasama dengan Toyota untuk membina kereta pandu sendiri khusus untuk menghantar pesanan piza. Selain itu, pada tahun 2020, KFC telah menggunakan khidmat kereta pandu sendiri daripada Neolix untuk menghantar pesanan pelanggan KFC di sekitar Shanghai, China.
P/S: Seronoknya kalau nampak kereta robot comel ni di jalanraya di Malaysia. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Gulp.