
Jika sebelum ini jenama Tesla menjadi antara kenderaan elektrik yang paling popular dan dikagumi ramai disebabkan oleh teknologi canggihnya, namun tahun 2025 menunjukkan jenama milik bilionair Elon Musk itu tidak lagi mendapat tempat di hati pembeli. Menurut data yang diambil daripada European Automobile Manufacturer’s Association, jumlah Tesla yang terjual di EU pada bulan April 2025 hanyalah 5,475 unit berbanding tahun sebelumnya iaitu 11,540 unit.
Lagi parah, jika dulu jenama Tesla pernah mendominasi pasaran kenderaan elektrik (EV), namun kini Tesla sudah jauh ketinggalan berbanding pesaingnya termasuk BYD, Volkswagen, Renault dan juga BMW.
Apakah punca-punca kejatuhan Tesla?
- Tindak Balas Terhadap Penglibatan Elon Musk Dalam Politik
Elon Musk dilihat semakin berani menonjolkan diri dalam penglibatannya di dalam politik Amerika Syarikat selain turut menyumbangkan $260 juta (RM 1.1 bilion) untuk membantu kempen pemilihan semula Donald Trump. Kesannya, tindakan yang diambil oleh Elon Musk nampaknya tidak disukai oleh pelanggan Tesla. Malah ada antara mereka yang ‘malu’ jika dikaitkan dengan Musk selain wujud kes vandalisme yang menyasarkan kereta Tesla sebagai tanda protes.

- Persaingan Hebat Daripada EV China
Tesla juga turut menghadapi tekanan daripada pesaing pembuat kereta elektrik yang lain, khususnya daripada BYD China. Jika dilihat secara keseluruhan, BYD boleh dianggap sangat ‘muda’ dalam pasaran automotif namun disebabkan teknik pemasaran yang sangat agresif, BYD kini mampu menghakis penguasaan Tesla. BYD yang pernah dilabel sebagai ‘alternatif’ untuk Tesla kini membuktikan bahawa mereka setaraf dengan Tesla dengan menghasilkan kenderaan yang berkualiti dengan teknologi canggih namun pada harga yang jauh lebih murah berbanding Tesla.
- Peralihan Kepada Model Baharu Y
Model Y pernah menjadi antara kereta yang paling laris di dunia. Namun langkah yang diambil oleh Tesla dengan memperkenalkan versi yang diubah suai pula telah memberikan kesan kepada proses penghantaran semasa tempoh peralihan tersebut. Kesannya, peralihan ini menyumbang kepada penurunan jualan Model Y dan juga keluaran lain Tesla.
