Kereta Wanita Ini Diconteng Cat Putih Bersama Kad Pokemon
Seorang wanita malang pelik dengan kejadian yang menimpanya apabila kereta biru Volkswagen Beetle miliknya telah ‘diserang’ dengan cara diconteng dengan cat putih. Apa yang lebih mengejutkan adalah mangsa turut menemui sekeping kad Pokemon dengan nama Klink “Call for Backup” di atas cermin hadapan keretanya seperti satu tanda amaran.
Ingrid, yang berasal dari Portsmouth, Hamshire, berkata beliau pelik apabila dia dijadikan sebagai sasaran individu tertentu sejak Oktober 2022 di mana sebelum ini, keretanya juga pernah diconteng dengan cat putih. Dalam serangan tahun lepas, keretanya diconteng dengan perkataan ‘Donna’. Ingrid juga yakin bahawa ia merupakan kes dendam pada orang yang salah kerana setahu beliau, Donna merupakan jirannya. Nak marah Donna, Ingrid yang kena. Kesian.
Melalui satu rakaman yang diambil dari rumah mangsa, terdapat seorang lelaki (suspek) yang tidak dikenali telah melemparkan cat pada keretanya sekitar jam 3 pagi. Lelaki yang memakai jaket hud itu kelihatan sedang mundar-mandir di sekeliling rumah mangsa sebelum menyiram cat putih ke atas kereta biru tersebut.
Disebabkan takut dan bengang dengan kejadian yang berulang, Ingrid telah menghantar e-mail kepada pasukan polis di kawasannya dalam usaha untuk menyelesaikan masalah tersebut selain membawa si pelaku ke muka pengadilan.
Oleh itu, Ingrid turut membekalkan pihak polis dengan beberapa maklumat penting termasuk rakaman CCTV untuk mengenalpasti suspek utama dan mengetahui punca kenapa suspek bertindak sedemikian.
P/S: Suspek ni rasanya tak buat ‘research’ kot. Sebab itu dua kali dia simbah cat pada kereta yang salah.