Kereta Terpanjang Di Dunia. Ada 26 Tayar, Panjang Lebih 100 Kaki
‘The American Dream’ merupakan kereta terpanjang di dunia dengan panjangnya yang lebih daripada 100 kaki (30.48 meter). Limousin ini bukan sahaja mampu memuatkan sehingga 75 orang pada satu masa yang sama, malah ia juga mempunyai 26 tayar!
Mengikut Guinness World Records, limousin Cadillac Eldorados ini dibina pada tahun 1986 oleh Jay Ohrberg di Burbank, California. Turut dibina dengan enjin V8 pada bahagian depan dan belakang, kereta ini sebenarnya memecahkan rekod dunianya sendiri dengan perbezaan hanya 1.5 inci.
Sesuai dengan nama gelaran ‘The American Dream’ yang diberikan, lihat sahaja dekorasi dalaman limo ini. Cukup mewah dan sesuai untuk sebarang jenis pesta. Selain itu, limousin ini juga turut mempunyai katil air yang besar, kolam renang mini, tab jakuzi, tab mandi, kawasan golf mini dan helipad. Helipad? Serius lah?
Untuk pengetahuan, dahulu kereta ini sebenarnya pernah disewa di dalam beberapa filem dan oleh orang kenamaan untuk beberapa pesta mewah tertentu. Namun, lama-kelamaan orang mula hilang minat pada kereta ini disebabkan oleh kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi dan mempunyai masalah untuk parking kerana terlalu panjang.
Oleh demikian, pemilik asalnya telah meninggalkan limousine ini di dalam sebuah gudang dalam tempoh yang sangat lama sehingga akhirnya kereta ini berkarat, tayarnya pecah, dicemari dengan contengan graffiti dan cermin yang pecah. Namun, Michael Manning merasakan yang kereta ini mempunyai nilai yang tinggi dan membelinya daripada laman eBay. Proses pembinaan semula limousin ini mengambil masa selama 3 tahun dan kos keseluruhan adalah lebih daripada $ 250,000 (RM 1.05 juta).
Agak-agak berbaloi tak?