Kereta Kebal Israel Dicuri. Pencuri Mahu Jual Sebagai Besi Buruk.

Hebat dan pelik. Selalunya kita dengar pencuri akan curi kereta orang awam sahaja. Itu pun mengikut jenis model kereta mana yang cepat laku atau senang untuk dijual semula. Tapi lain pula yang berlaku di Israel apabila pihak berkuasa mereka sekarang sedang pening kepala dan cuba mencari jawapan bagaimana sebuah kereta kebal berperisai seberat 60 tan telah dicuri dari zon latihan ketenteraan mereka. Umum tahu bahawa kereta kebal bukan boleh dipandu laju dan saiznya juga bukan kecil seperti kenderaan biasa. Jadi macam mana pencuri buat kerja?

Adakah pencuri itu mencuri kereta kebal untuk dijual kepada sesiapa? Tidak! Rupa-rupanya, pencuri itu ingin menjual kereta kebal yang diberi nama Merkava 2 itu sebagai besi buruk! Ini kerana selepas pihak polis mendapat laporan tentang kecurian sebuah kereta kebal milik tentera Israel, mereka telah menemui kereta kebal itu di sebuah pusat pelupusan besi buruk yang terletak kira-kira 20 kilometer dari tempat ia dicuri.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama kes sebegini dilaporkan. Sebelum ini pun pernah beberapa orang bekas tentera Israel telah melarikan kereta kebal Centurion bersama sebuah kereta berperisai Bren dalam protes terhadap Kerajaan pimpinan Perdana Menteri mereka, Benjamin Netanyahu. Sedangkan tanah orang pun mereka boleh curi, setakat kereta kebal apa sangat kan?