Kejadian Sesat Akibat Guna Waze dan Google Maps. Seram Pun Ada
Zaman sekarang ni hampir semua pengguna jalanraya guna applikasi navigasi jalan samada aplikasi Google Maps ataupun Waze. Kadang-kadang, sebelum bergerak ke sesuatu destinasi yang kita dah tahu jalannya pun kita tetap akan buka aplikasi ni dulu. Bukan apa, mana tahu kot-kot ada kemalangan, sekatan jalanraya atau jem melampau kat mana-mana. Sekurang-kurangnya aplikasi tersebut boleh bagi kita pilihan untuk guna jalan lain yang lebih cepat.
Namun, banyak kali kita terbaca kes pelik dan seram bila beberapa orang yang terlalu percaya dengan aplikasi ni telah tersesat teruk. Ada yang sampai termasuk hutan, masuk laluan lawan arus, masuk laluan motosikal malah ada yang sampai masuk sungai! Lagi seram bila ada yang kata aplikasi tu tunjuk jalan berhantu. Biar betul?
TERSESAT KE LADANG KELAPA SAWIT
Kejadian ni berlaku tahun lepas di Bandar Saujana Putra di mana ada seorang wanita berusia 30-an yang juga seorang bidan tersesat dalam ladang kelapa sawit apabila menggunakan aplikasi navigasi semasa mencari rumah pelanggannya. Bayangkan kereta Nissan Almera masuk ladang kelapa sawit? Sudah tentu tersangkut dalam lumpur. Akhirnya, pihak bomba terpaksa datang dan bantu mangsa.
KERETA TERSESAT MASUK LORONG MOTOSIKAL
Kes ni berlaku pada bulan Jun 2020, di mana ianya telah menjadi tular di media sosial. Dalam kejadian ni, sebuah kereta Volvo berwarna hitam telah tersalah masuk ke laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan dari Sungai Besi menuju ke Shah Alam. Video tular itu telah menyebabkan pihak polis mengarahkan lelaki berusia 53 tahun itu untuk tampil ke balai polis bagi memberi keterangan. Rupanya, dia salah masuk lorong tu sebab tersilap setting aplikasi Waze. Punya la marah pengguna motosikal yang lain. Ingatkan orang mabuk, rupanya salah setting dengan menggunakan tetapan mode motosikal.
KERETA TERSALAH MASUK LALUAN MELAWAN ARUS.
Kejadian yang berlaku pada Disember 2019 ni telah berlaku di laluan melawan arus di susur keluar Sungai Dua. Dalam kes ni, seorang wanita yang memandu kereta Perodua Kelisa telah menggunakan jalan melawan arus sehingga menyebabkan seorang lelaki yang menunggang motosikal terkejut dan hilang kawalan sebelum terbabas. Ini semua gara-gara aplikasi Waze, di mana wanita berusia 23 tahun terbabit telah tersilap jalan. Kesian abang rider Yamaha FZ tu, jatuh tergolek depan kereta Perodua Kelisa tu. Nasib baik dia cuma mengalami cedera ringan.
TRUK JATUH DALAM SUNGAI
Jangan terkejut, kes ni bukan di Malaysia tapi di negara jiran iaitu Indonesia. Dalam kejadian ni, seorang pemandu truk telah menggunakan aplikasi Google Maps dan tersalah masuk ke laluan yang tidak sesuai untuk kenderaan besar. Pada mulanya memang pemandu tu rasa hairan apabila jalan tu semakin lama semakin sempit. Semasa berada di atas sebuah jambatan kecik, tiba-tiba truk tersebut telah mati sebelum terundur ke belakang dan jatuh ke dalam sungai! Nasib baik pemandunya selamat.
SESAT KE JALAN KUBUR DI TENGAH MALAM
Untuk kes kali ni, agak berbeza dari yang atas sebab yang ni memang seram. Ada dua gadis ni pergi ke Nilai untuk makan malam sebelum bertolak balik ke Mantin pada jam 11.30 malam. Disebabkan kurang pasti dengan jalan tu, jadi mereka menggunakan aplikasi navigasi untuk ke destinasi. Namun, apa yang peliknya, aplikasi navigasi mereka tu telah berkata ‘You have arrived at your destination’.
Mula-mula kereta berhenti di depan kuil lama, lepas dah refresh balik aplikasi tu, dia tunjuk arah ke tanah perkuburan dan jalan mati pulak. Punya lama mereka sesat sampai jam 3.45 pagi mereka belum sampai ke destinasi. Rupanya, bila ustaz datang baru tersedar mereka sebenarnya ‘diusik’ sesuatu. Sebab tu aplikasi navigasi mereka pun duk tunjuk jalan suram je. Itu la, anak gadis keluar sampai tengah malam. Bila kena benda seram macam ni baru nak menyesal.
Kiranya, aplikasi navigasi yang kita pakai sekarang ni pun bukan boleh percaya 100 peratus la kan? Apa pendapat anda?