Nama geng ini macam nama kumpulan K-Pop, tapi malangnya mereka bukan mempunyai kebolehan menyanyi atau menari sebaliknya geng K-Boys ini mempunyai kebolehan mencuri kenderaan mewah. Tapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga kan?
Itulah yang terjadi kepada kumpulan penjenayah ini apabila akhirnya mereka berjaya ditumpaskan oleh pihak polis di dalam sebuah serbuan di sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Perak sekitar hujung bulan Jun 2024.
Sumber imej: kosmo.com.my
Menurut pihak polis, mereka menerima satu aduan daripada seorang lelaki yang mengatakan rumah majikannya yang pada ketika itu sedang berada di China telah dipecah masuk dan kesemua kenderaan mewah milik majikannya telah dilarikan suspek. Antara kenderaan yang dilarikan termasuk Audi R8, Porsche 718 Cayman bersama Suzuki Swift yang mana jumlah kerugian dianggarkan bernilai sekitar RM 700,000.
Berdasarkan beberapa maklumat yang diterima, pihak polis mendapati suspek utama Geng K-Boys itu adalah seorang lelaki berusia 38 tahun dan modus operandi kumpulan penjenayah terbabit adalah dengan mengenal pasti rumah-rumah yang memiliki kenderaan mewah sebelum memecah masuk dan melarikan kenderaan. Akhirnya, kenderaan mewah yang dicuri itu akan dijual atau turut digunakan untuk melakukan jenayah yang lain.
Terkini, kesemua suspek terdiri daripada lelaki dan wanita berumur 31 hingga 54 tahun itu akan direman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 (kesalahan mencuri) serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan (mencuri kenderaan motor).
P/S: Nama K-Boys tapi yang semua suspek macam ayah-ayah je?
Sumber imej: allstate.com