JPJ Buat Laporan Polis Gara-Gara Hantaran Seorang Wanita Di Facebook

Sumber imej: bharian.com.my

Beberapa hari lepas, seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Missa James Novelis telah membuat satu hantaran bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyaman sesiapa sahaja yang tidak mempamerkan cukai jalan secara fizikal. Antara hantarannya adalah:

“Siapa kata sekarang tak perlu cukai jalan fizikal. Semua itu bohong semata. Saya baru balik dari JPJ tanya hal sebenar. Cukai jalan fizikal masih diperlukan ya. Sesiapa yang dah bayar insurans dan cukai jalan di pejabat pos sila ke kiosk di JPJ untuk cetak, ia percuma.”

Sumber imej: funtasticko.net

Perkongsian daripada wanita tersebut yang bukan sahaja kecoh di Facebook malah turut tular di TikTok telah disifatkan sebagai palsu dan mengelirukan, selain mencetuskan kemarahan orang ramai kerana ianya tidak selari dengan maklumat yang diumumkan oleh pihak Kerajaan.

Pada 10 Februari 2023, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan bahawa pemilik kenderaan dan pemandu digalakkan untuk beralih dari dokumen fizikal kepada dokumen digital. Sepanjang tempoh interim ini, mereka juga diberi pilihan untuk menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Lesen Memandu Malaysia (LMM) dalam bentuk digital atau kekal dengan bentuk fizikal. Malah beliau juga turut mengatakan bahawa orang ramai yang memilih untuk menggunakan dokuman digital tidak perlu bimbang sekiranya ditahan pihak agensi penguat kuasa untuk pemeriksaan kerana pihak berkuasa (PDRM) telah dimaklumkan mengenai hal itu.

Sumber imej: mypt3.com

Justeru itu, disebabkan hantaran wanita itu disifatkan sebagai mengelirukan, pihak JPJ telah membuat laporan polis berhubung isu itu dan berharap agar pihak polis membuat siasatan terhadap pemilik akaun bagi mengelakkan perkongsian kenyataan yang palsu dan mengelirukan oleh mana-mana individu. Pada masa yang sama juga, pihak JPJ berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang hantaran atau perkongsian tentang sesuatu yang tidak sahih untuk mengelakkan kekeliruan. Ini yang Kerajaan selalu pesan, TAK PASTI JANGAN KONGSI.

Sumber imej: rtm.gov.my
No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.