Jalan Paling Bahaya Di Dunia. No.4 Tu Macam Selalu Masuk Filem Bollywood

Sumber imej: youtube.com

Namakan jalan paling bahaya di Malaysia? Paling tak pun korang akan bagi Jalan Karak lama yang selalu dikaitkan dengan makhluk halus dan jalan yang berliku, Jalan Tapah di kawasan Cameron Highland yang berbukit curam dan selekoh tajam, jalan naik Genting Highland atau jalan Bukit Putus yang suram. Tapi tahukah anda jalanraya yang kononnya bahaya di Malaysia tu tiada apa-apa jika nak dibandingkan dengan senarai jalan yang akan diberikan selepas ni.

1. Jalan ‘Street of Death’, Yungas Utara – Bolivia

Sumber imej: express.co.uk

Dengan ketinggian 2000 kaki dari paras laut, jalan ni beradi di tempat pertama jalan paling bahaya di dunia. Bayangkan, jalan yang dibina sekitar tahun 1930an ni bukan sahaja curam dengan selekoh tajam, malah seringkali dilanda hujan lebat dan kabus tebal dari Amazon yang menyukarkan lagi keadaan jalan. Malah, jalan ini juga selalu ada tanah runtuh, malah ada juga air terjun kecil yang menuruni celahan bukit yang membuatkan jalan menjadi agak licin. Jadi, dengan keadaan jalan yang sememangnya menakutkan ni, maka tidak hairan jika jumlah korban di jalan ini mencecah antara 200 hingga 300 nyawa setahun!

2. Jalan Jalalabad-Kabul – Afghanistan

Sumber imej: dangerousroads.org

Jalan sepanjang 143km yang meghubungkan Kabul dan Jalalabad di Afghanistan ni kalau tengok pada gambar pun memang dah takut. Jalan yang siap sepenuhnya pada tahun 1969 ni sebenarnya menyusuri sungai Kabul di kawasan Taliban bersama dengan gaung sedalam 600 meter! Semasa musim salji, kebanyakan jalan di sini terpaksa ditutup sehingga memaksa pengguna jalanraya terpaksa menunggu sehingga berjam-jam lamanya. Walaupun jalan ni sangat bahaya, namun laporan menunjukkan yang orang Afghanistan ni suka pandu laju kat sini seolah dalam perlumbaan Formula One. Jadi agak normal untuk tengok kereta yang terpelanting jatuh atau lori berat yang mengundur ke belakang. Normal?

3. Lebuhraya James Dalton, Alaska – Amerika Syarikat

Sumber imej: seasia.co

Sekilas pandang, macam tak bahaya pun jalan ni. Tapi tahukah anda lebuhraya ni digelar sebagai jalan paling sunyi di dunia. Lebuhraya ni dibina pada tahun 1974 dan dinamakan sebagai James Dalton, iaitu jurutera yang membina jalan ni. Sesiapa sahaja yang bakal merentasi laluan ni diminta untuk membawa lebihan keperluan sebab anda bakal menempuh jalan sunyi sepanjang 666 kilometer! Jalan ni memang berkabus tebal sebab sering dilitupi salji jadi pemandu disarankan untuk pasang lampu headlights setiap masa. Nak pandu laju pun tak boleh, sebab jalan licin. Walaupun jalan ni sunyi, namun ramai yang terkorban akibat kecuaian.

4. Lebuhraya Karakoram – Pakistan

Sumber imej: aalmiakhbar.com

Lebuhraya sepanjang 1300 kilometer ni menghubungkan negara Pakistan dan juga China. Walaupun jalan ni mempunyai pemandangan yang sangat cantik dan seringkali jadi destinasi penggambaran filem Bollywood, namun melihat kepada keadaan sebenar yang terpaksa dilalui oleh pemandu di sini sudah cukup untuk buat kita kecut perut. Jalan berbatu dengan selekoh tajam, malah selalu ada tanah runtuh dan banjir. Jadi kalau tersalah sikit boleh jatuh gaung! Selain itu, jalan ni juga dikenali sebagai jalan berturap tertinggi dengan pendakian paling sukar di dunia. Kiranya bukan calang-calang orang boleh memandu di jalan ni.

5. Jalan Terowong Guoliang – China

Sumber imej: economictimes.indiatimes.com

Jalan atau terowong sepanjang 750 meter ini mula dibina pada tahun 1972, menggunakan tenaga 13 penduduk kampung yang gigih menyiapkan jalan ni dengan hanya menggunakan tukul dan pahat! Namun walaupun jalan ni sangat bahaya, tetapi ia sangat popular di kalangan pelancong yang suka akan pemandangan yang sangat cantik di sini. Tapi hati-hati sebab walaupun cantik, jalan ini juga dikenali sebagai jalan yang tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan. Maksudnya, tersalah laju sikit, anda akan ‘terbang’ ke gaung sedalam 1,700 meter ke bawah.

Bila tengok keadaan jalan dalam senarai di atas, syukurlah jalan di Malaysia tak seteruk ni kan? Anda rasa?

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *