Isuzu D-Max Rekod Jualan Tertinggi Baharu di Malaysia

Sejak Isuzu Malaysia mula menapak di bumi Malaysia pada tahun 2005, trak pikap mereka iaitu Isuzu D-Max generasi yang ketiga telah merekodkan jualan tertinggi pada bulan Mac tahun ini. Jika sebelum ini jualan banyak terkesan dalam tempoh beberapa tahun akibat Covid-19, akhirnya pada bulan lalu jualan mereka mencatatkan sehingga 1,233 pendaftaran baharu bagi Isuzu D-Max. Maka, rekod baharu ini berjaya mengatasi rekod Isuzu sebelumnya dengan lebih 800 unit terjual pada Disember 2014 selepas mereka memperkenalkan varian 3.0-liter V-Cross.

Menurut Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo, peningkatan jumlah serahan kenderaan dari kilang sebenarnya telah membolehkan syarikat itu untuk mengurangkan masa menunggu bagi pelanggan yang ingin mendapatkan kenderaan baru. Menurut beliau lagi, “Sebagai jenama yang sangat mementingkan kehendak pelanggan, keutamaan bagi pihak Isuzu adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah terhadap trak pikap pelbagai guna ini.”

Untuk pengetahuan, varian 1.9 Premium Auto merupakan varian yang paling laku sepanjang Mac dengan 350-unit terjual. Selain itu, varian flagship X-Terrain juga menunjukkan peningkatan positif dengan 163-unit berjaya dijual.

Shunsuke Okazoe, bakal CEO Isuzu Malaysia.

Selain itu, bakal CEO Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe telah menetapkan keperluan untuk mengutamakan kepuasan pelanggan samada semasa jualan atau selepas jualan dengan beberapa penambahbaikan. Beliau yang turut memegang ijazah undang-undang daripada Universiti Kyushu dan mempunyai pengalaman bersama Isuzu sejak 26 tahun yang lalu turut menekankan keutamaannya buat masa sekarang adalah untuk memperkukuhkan lagi rangkaian Isuzu selain memberikan kepuasan maksimum kepada kehendak pelanggan di Malaysia.

Walaupun masih lagi ‘muda’ di Malaysia, Isuzu Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang pesat dan memberangsangkan. Menurut Shunsuke Okazoe, “Reputasi jenama Isuzu yang mantap, barisan produk yang hebat serta rangkaian sokongan yang kuat telah membantu pihak Isuzu mewujudkan sebuah platform yang kukuh untuk perkembangan. Sasaran kami ialah untuk meningkatkan sistem sokongan, supaya ianya selari dengan pertambahan pelanggan Isuzu.”

Kini terbukti bahawa walaupun baru menapak di Malaysia selama 17 tahun, Isuzu Malaysia mampu bergerak jauh sehingga mempunyai 54 cawangan pengedar rasmi di seluruh negara. Jadi apa lagi? Bagi anda yang nak tahu dengan lebih lanjut tentang model kenderaan Isuzu, boleh terus ke laman sesawang rasmi mereka di https://www.isuzu.net.my

Sumber imej: isuzu.net.my
No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.