Honda City Hatchback 1.0 Liter Turbo Bakal Tiba Malaysia Tahun 2021

Sumber imej: gaadiwaadi.com

Honda City Hatchback baru sahaja dilancarkan atau ‘global debut’ di Thailand pada bulan ini, sekali gus melenyapkan teka-teki tentang bilakah waktu kemunculannya yang sebenar. Untuk pasaran Thailand, Honda City Hatchback 1.0 liter VTEC turbo mempunyai tiga variasi: bagi varian S+, harganya bermula 599,000 baht (RM 80,776), varian SV pula berharga 675,000 baht (RM 91,000) manakala varian tertinggi, iaitu varian RS, pula berharga 749,000 baht (RM 101,000).


Jika dilihat pada rekaan depannya, ianya hampir sama dengan model sedan City contohnya lampu utama, bampar serta gril radiator. Yang berbeza cuma pada bahagian belakang, dimana bampar dan spoiler bumbungnya agak sporty seakan Honda Jazz. Sekali pandang, rekaan Honda City Hatchback ini ibarat gabungan kereta Honda City sedan dan Honda Jazz. Anak kacuk ni.

Sumber imej: indiacarnews.com


Dari segi saiz pula, Honda City Hatchback ini mempunyai panjang 4,345 mm, iaitu 208 mm lebih pendek daripada Honda City sedan, manakala ketinggiannya pula ialah 1,488 mm. Jika kita melihat ke dalam ruang dalam pula, ianya dipasang bersama sistem infohibur bersaiz 8 inci lengkap bersama Android Auto dan Apple CarPlay.

Sumber imej: honda.co.th


Honda City Hatchback didatangkan dengan enjin turbo selinder 1.0 liter yang mampu menjana 122PS dan tork 173Nm. Malah, enjinnya juga dipandankan dengan kotak gear CVT atau juga manual. Selain itu, ia juga mempunyai enam beg udara termasuk i-Side Airbags dan Side Curtain Airbags.


Namun mesti ada tertanya-tanya bagaimana pula variasi warna bagi Honda City Hatchback? Bagi pasaran Thailand, ia mempunyai enam warna iaitu Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Sonic Gray Pearl, Crystal Black Pearl (macam nama kapal dalam filem Pirates of the Caribbean) dan akhir sekali Taffeta White. Andai kereta Honda City Hatchback sampai tahun depan di pasaran Malaysia, warna mana yang menjadi idaman kalbu anda?

Sumber imej: honda.co.th
No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.