TAHNIAH HERO KOTA TINGGI. SANGGUP TERJUN SELAMATKAN MANGSA KERETA HANYUT
Beberapa hari lepas, tular satu video yang menunjukkan tindakan pantas seorang lelaki, Choo Ngiam Choong yang terjun ke dalam sebuah longkang untuk menyelamatkan mangsa kereta hanyut di Kota Tinggi. Disebabkan kepantasannya, beliau berjaya menyelamatkan mangsa daripada terus dibawa arus deras.
Apa yang dilakukan oleh Hero Kota Tinggi ini amatlah dipuji, malah warganet juga kagum dengan beliau yang tanpa ragu terus melompat ke dalam longkang dengan arus deras demi menyelamatkan mangsa. Sememangnya beliau adalah seorang yang berani dan mempunyai sikap tidak pentingkan diri kerana sanggup terjun tanpa memikirkan keselamatan dirinya sendiri. Syabas!
Sumber imej: hmetro.com.my
Dalam kejadian itu, sebuah kereta Perodua Myvi yang dalam perjalanan ke Bandar Kota Tinggi telah terbabas berhampiran sebuah stesen minyak di Bukit Samsu sebelum masuk ke longkang.
Terdapat dua orang mangsa, masing-masing wanita berusia 30-an dan 40-an yang terperangkap di dalam kereta tersebut sebelum akhirnya berjaya keluar melalui pintu bahagian penumpang.
Dalam keadaan yang semakin cemas, salah seorang mangsa sempat berpaut pada batang besi manakala seorang lagi pula berpaut pada belakang kereta sebelum diselamatkan oleh Encik Choo dan orang awam.
Menurut salah seorang mangsa yang juga ibu tunggal kepada empat cahaya mata itu lagi, walaupun beliau terpaksa menanggung kerugian termasuk kehilangan kereta, wang tunai, barang kemas dan lain-lain namun beliau tetap redha dan bersyukur kerana masih selamat.
Bak kata Encik Choo: “Wang ringgit masih boleh dicari namun sekiranya nyawa melayang, tiada galang gantinya.”
Apa-apa pun tahniah diucapkan kepada Hero Kota Tinggi, Encik Choo Ngiam Choong! Anda memang seorang yang berani dan hebat!
Sumber: twitter.com