Hati-Hati Kalau Beli 3 Jenis Motosikal ‘Panas’ Ni

Siapa di sini yang pasang angan-angan nak beli motosikal? Yang pasti tolong hati-hati jika motosikal yang bakal anda miliki tu adalah yang tersenarai sebagai motosikal paling ‘panas’ di Malaysia. Panas yang dimaksudkan bukan sebab kalau naik motosikal tu mudah terbakar ke apa. Tapi, ianya berkaitan dengan jenis motosikal yang paling diminati oleh golongan pencuri. Pantang nampak, orang punya pun dia selamba rembat.

Jika mengikut kepada satistik yang dikeluarkan oleh Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad atau Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Berhad (VTREC), tiga jenis motosikal ni merupakan yang paling banyak dicuri di Malaysia untuk tempoh empat tahun berturut-turut (2017 – 2020):

1) Yamaha 135LC

Yamaha 135LC mula dibuat pada tahun 2005 oleh syarikat Yamaha Motor Company. Turut dikenali sebagai Spark 135/135i di Thailand atau Jupiter MX 135 LC di Indonesia, motosikal ini merupakan antara yang terlaris di pasaran. Kiranya model motosikal ni memang laku keras, bukan setakat di Malaysia malah di seluruh Asia Tenggara. Sebab itu selalu kena curi. Kebanyakan motosikal yang dicuri bukan sahaja dijual balik di Malaysia, malah ada juga yang diseludup ke negara jiran.

2) Yamaha Y125

Motosikal ini mula dikeluarkan sekitar tahun 1998, untuk menggantikan model terdahulu iaitu Yamaha Y110SS. Mempunyai enjin 125 cc, motosikal ini mampu memecut sehingga 162 km/j (level mat rempit tak takut mati). Motosikal ini juga memang dalam kategori laku keras bukan sahaja di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain, tapi ia turut dijual di Greece.

3) Honda C100

Siapa tak kenal motosikal lagenda ni. Turut dikenali sebagai Honda Super Cub, sebenarnya ia juga turut mempunyai banyak nama dan model sejak mula diperkenalkan sekitar tahun 1958. Ada juga sesetengah rakyat Malaysia panggil motosikal ni sebagai Honda EX5 atau Honda EX5 Dream. Malah, mengikut statistik yang dikeluarkan, motosikal ini juga merupakan jenis motosikal yang paling banyak dikeluarkan dalam sejarah dunia. Malah masa tahun 2017 pun lebih 100 juta unit yang dibuat tau.

Jadi, apa pandangan anda? Adakah anda nak teruskan beli motosikal yang ibarat pisang goreng panas ni atau tidak? Kalau beli pun macam mana nak halang pencuri daripada mencuri motosikal kesayangan anda? Takkan sampai nak kena tidur dengan motor.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.