MINI HOT ROD ‘HARU BIRU’ MENANG 2 ANUGERAH DI ART OF SPEED 2024
Acara Art of Speed yang ke 13 – Kustom Kulture Is Beautiful (2024) yang berlangsung di MAEPS Serdang pada 27 – 28 Julai 2024 sememangnya mendapat sambutan yang sangat meriah daripada peminat industri automotif tanah air. Seperti tradisi sebelum ini, AOS 2024 turut menampilkan nama besar dalam industri automotif bagi genre kustom dari luar negara antaranya Nigel Petrie dari Engineered to Slide (Australia), Shinotsuka NATQQ Michihisa & Hey Murakamii dari MOONEYES dan Shige Suganuma (Jepun), Kustomfest (Indonesia), Borneo Kustom Show (Brunei) dan banyak lagi.
Seperti sebelumnya, acara gilang-gemilang ini turut disertai oleh ramai pembina automotif yang bertanding dan antaranya adalah Encik Hazuar dari Big Cat Custom. Rekaan beliau kali ini adalah sebuah mini hot rod berwarna biru yang diberi nama sebagai ‘Haru Biru’ yang mana jentera mini ini turut memenangi dua anugerah di AOS 2024 iaitu Best of Open Class dan Best of Fabrication. Tahniah!
Menurut Encik Hazuar, beliau tidak pernah menyangkan bahawa beliau akan membawa pulang dua anugerah tersebut. Beliau juga turut menyuarakan rasa teruja apabila melihat respon positif dari ramai peminat industri automotif yang datang ke AOS 2024. Bahkan, mini hot rod ‘Haru Biru’ miliknya turut mendapat perhatian ramai pihak yang juga memuji hasil kerja kreatif beliau.
Sangat kreatif, kemas dan comel bukan? Bagi kami mini hot rod ‘Haru Biru’ milik Encik Hazuar dari Big Cat Custom ini layak mendapat dua anugerah tersebut. Bagi beliau juga, untuk membina mini hot rod ini bukanlah satu kerja yang mudah kerana ia memerlukan komitmen, kreativiti dan ketelitian dalam membina sebuah jentera. Yang penting, mini hot rod ini bukan sahaja untuk pameran, bahkan ianya juga boleh dipandu!Lagi menarik, Encik Hazuar juga turut memberikan peluang kepada pihak Automology untuk memandu uji mini hot rod ‘Haru Biru’ miliknya yang turut ditaja oleh pihak X-1R ini. Anda nak lihat kami pandu uji jentera comel ini? Nantikan video dan artikel selepas ini.