Menurut Ketua Polis Johor, M. Kumar, satu sindiket mencuri kereta mewah yang dikenali sebagai Geng JB telah mengejutkan orang ramai apabila mereka mampu untuk mencuri kenderaan mewah hanya dalam masa 30 saat walaupun kereta mangsa telah dilengkapi dengan sistem penggera atau immobiliser.
Menurut M. Kumar lagi, sindiket ini hanya memerlukan dua orang sahaja yang mahir dalam teknologi yang mensasarkan kenderaan mewah di mana mereka akan menggunakan programmer elektronik untuk melarikan kenderaan mangsa walaupun tanpa kunci.
Sumber imej: military.com
Dalam masa kurang 30 saat, mereka akan melumpuhkan sistem GPS dan penggera kenderaan dengan menggunakan pemutus isyarat yang turut dikenali sebagai jammer. Akhirnya, kenderaan mewah tersebut akan berjaya dilarikan tanpa dikesan untuk dijual di pasaran gelap di negara jiran. Antara kenderaan yang paling digilai di pasaran negara jiran termasuklah Toyota Vellfire, Toyota Hilux, Toyota Alphard dan Toyota Fortuner. Dan bayangkan kesemua kenderaan mewah itu hanya dijual pada harga sekitar RM 30,000 hingga RM 40,000 sahaja!
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Menurut pihak polis, sindiket ini akhirnya telah pun berjaya ditumpaskan oleh polis dalam operasi Ops Lejang dan memaklumkan bahawa pihak polis telah berjaya menahan lapan individu yang berusia antara 27 hingga 49 tahun termasuk dalang utama sindiket tersebut. Kes ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 414 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecik 1955.