Ferrari SP48 Unica – Sports Berlinetta Dua Tempat Duduk Dengan Kuasa Sama Seperti Ferrari F8 Tributo
Pada awal bulan ini, Ferrari telah memperkenalkan Ferrari SP48 Unica, rekaan terbaharu dalam siri Prancing Horse’s One-Off. Dah namanya pun UNICA, maka sudah tentu rekaan terbaharu ini lebih unik dan istimewa khusus untuk pelanggan mereka yang inginkan kelainan berbanding sebelumnya.
Ferrari SP48 Unica, sebuah jentera mewah sports berlinetta dengan dua tempat duduk yang dibina di atas platform F8 Tributo merupakan rekaan ekslusif daripada Ferrari Styling Centre di bawah kelolaan Flavio Manzoni selaku Ketua Pegawai Reka Bentuk Ferrari (Chief Design Officer). Bila menyebut tentang Ferrari F8 Tributo, umum juga mengetahui bahawa SP48 Unica ini turut dikuasakan oleh enjin V8 turbo berkembar yang sama seperti F8 Tributo.
Antara rekaan yang paling menonjol tentang Ferrari SP48 adalah garisan tegang dan kelihatan lebih agresif selain rekaan pada bahagian hadapan yang lebih meruncing, namun masih mengekalkan ciri reka bentuk model asal.
Jika dilihat secara keseluruhan, aspek terpenting dalam rekabentuk kereta baharu unik ini adalah penggunaan teknik pemodelan prosedur-parametrik dan prototaip 3D (pembuatan tambahan) yang membolehkan para pereka di Ferrari Styling Centre dan jurutera Maranello untuk mereka semula bentuk gril hadapan dan saluran masuk udara di bahagian enjin (engine air intakes) secara sepenuhnya. Maka, proses pengeluaran lanjutan ini mampu menghasilkan gril 3D yang cukup sempurna dan kelihatan seperti diukir daripada volum pepejal yang mewujudkan rasa kesinambungan yang lancar dan kecairan dinamik.
Selain itu, reka bentuk keseluruhan SP48 Unica juga dibantu dengan warna peralihan daripada hitam yang merangkumi bahagian tingkap, bumbung dan penutup enjin kepada warna badan yang sangat jelas. Kesan visor pada bahagian hadapan juga dipertingkatkan lagi dengan pengurangan saiz tingkap sisi dan penyingkiran skrin belakang yang mana ia menyerlahkan lagi rekaan ‘otot’ berkuasa SP48 Unica.
Bagi yang masih tertanya-tanya, sebenarnya Program Projek Khas Ferrari unik yang dipanggil ‘One-Offs’ ini dicirikan oleh reka bentuk ekslusif yang direka mengikut keperluan setiap pelanggan untuk memastikan setiap satu menjadi pemilik model yang benar-benar unik. Malah, setiap satu projek juga berasal daripada idea yang dikemukakan oleh pelanggan dan kemudian idea itu dibangunkan dengan pasukan pereka daripada Ferrari Styling Centre. Setelah mereka menentukan bahagian dan bentuk kereta, maka pelan tindakan yang lebih terperinci akan dihasilkan sebelum pembinaan ‘One-Off’ bermula. Hasilnya, sebuah Ferrari yang unik dengan logo Prancing Horse terhasil dengan kemasan reka bentuk terbaik sama seperti setiap jentera yang dikeluarkan oleh barisan pemasangan Maranello.