Ferrari Enzo RM14 Juta Hancur Langgar Pokok Semasa Pandu Uji
Ferrari Enzo adalah satu model kereta Ferrari yang agak ’superstar’ di kalangan kaum kerabatnya, mungkin kerana namanya yang diambil sempena nama pengasas Ferrari itu sendiri. Sebenarnya ia pertama kali membuat kemunculan sekitar tahun 2002.
Diinspirasikan daripada teknologi F1 dengan kuasa V12, kereta ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 351 km/j. Maka tidak hairanlah jika ia turut menjadi antara model yang paling digilai oleh peminat kereta di seluruh dunia.
Terbaru, sebuah jentera ikonik ini telah hancur akibat melanggar pokok di Belanda. Cuma ada tiga model ini di negara tersebut, dan malangnya salah satu daripadanya telah rosak teruk dipercayai berlaku semasa sedang dipandu uji. Menurut saksi, kereta berkenaan dipandu dengan sangat laju sebelum pemandunya dikatakan hilang kawalan lantas melanggar pokok di bahu jalan.
Walaupun tiada kecederaan serius dilaporkan berlaku kepada pemandu, tetapi keadaan kereta itu kelihatan sangat teruk lebih-lebih lagi di bahagian badan kanan. Dua daripada tayar kereta tersebut tercabut manakala bahagian badan pula dilihat hancur. Ada yang mengatakan bahawa kereta itu sebenarnya dipandu oleh salah seorang mekanik di Kroymans Ferrari, namun pihak mereka mengelak daripada memberi sebarang komen berkaitan kemalangan tersebut.
Ni baru betul-betul pandu uji. Lenjan laju-laju sampai berpusing kereta tu dan akhirnya melanggar pokok. Entah apa la nasib abang mekanik tu selepas tu kan?