David Beckham Hadiahkan Anak EV Jaguar XK140 Oleh Lunaz Sebagai Hadiah Kahwin

Lagenda bolasepak David Beckham hadiahkan EV Jaguar XK140 1954 oleh Lunaz berharga US$500,000 (RM 2.11 juta) sempena perkahwinan anak lelakinya, Brooklyn Beckham.

Umum tahu bahawa David Beckham merupakan salah seorang pemegang saham dalam syarikat pemulih kenderaan, Lunaz. Jadi, sempena perkahwinan anak lelakinya bersama Nicola Peltz, yang merupakan seorang selebriti Hollywood dan juga anak perempuan seorang billionaire, bekas pemain bolasepak itu telah menghadiahkan pasangan pengantin baru itu dengan sebuah kereta klasik Jaguar yang telah diubahsuai menjadi kereta elektrik.

Namun, sebelum memberikan kereta klasik itu sebagai hadiah, David serta isterinya, Victoria sempat keluar meronda bersama kereta itu pada pagi Ahad lalu. Kiranya sebelum menyerahkan kereta itu kepada anak dan menantu, si ayah yang rasmikan dahulu. Untuk pengetahuan, kereta klasik berwarna biru muda mewah itu merupakan hasil kerja beribu jam oleh 120 pakar (tukang, pereka bentuk dan juruteknik kenderaan elektrik) yang dibina sepenuhnya di Silverstone, England.

Menurut pihak Lunaz, XK140 ini telah diubahsuai dan telah melalui beberapa penambahbaikan dari segi brek, suspensi dan komponen stereng yang lebih canggih dan dinaik taraf dengan rangkaian kuasa elektrik. Walaupun bahagian dalam (interior) kereta ini masih mengekalkan ciri klasik dan asli, ia turut ditambah dengan beberapa suis atau butang sama seperti dalam kenderaan moden.

Menurut CEO Lunaz lagi, Jaguar XK140 ini diharap dapat menjadi hadiah terbaik lagenda bolasepak itu selaku antara pelabur dalam syarikat Lunaz kepada anak lelakinya.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.