
Baru-baru ini Sime Darby Motors dan BYD baru sahaja melancarkan model kereta elektrik (EV) sedan iaitu baharu BYD SEAL. Hadir dalam dua varian iaitu Premium AWD dan juga Performance, harga yang ditawarkan di pasaran Malaysia adalah sangat berpatutan untuk sebuah kereta elektrik iaitu bermula pada RM 179,000 (Premium) dan RM 199,800 (Performance).
Dalam majlis yang dilancarkan oleh YB Tunku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) itu, turut hadir bersama adalah Dato’ Jeffri Salim Davidson (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darvy Berhad), Liu Xueliang (Pengurus Besar BYD), Andrew Basham (Pengarah Urusan Sime Darby Motors), Jeffrey Gan (Pengarah Urusan Sime Darby Motors Asia Tenggara) dan Eagle Zhao (Pengarah Urusan BYD Malaysia).
Untuk pengetahuan, BYD SEAL merupakan model sedan pertama yang menggunakan teknologi canggih Cell-To-Body (CTB) atau sel pada badan yang mana ia mampu menyepadukan bateri bilah terus ke dalam struktur kenderaan bagi memastikan keselamatan dan kestabilan terhadap kenderaan. Antara lain ialah ia turut dilengkapi dengan e-Platform 3.0 di mana ia mampu memberikan kecekapan, kepintaran, keselamatan dan estetika yang serba sempurna.
Jika melihat pada rekaan luar, model BYD SEAL ini sebenarnya diilhamkan oleh konsep “X” yang menggabungkan gaya dan prestasi dengan rekaan seakan coupe dan reka bentuk aerodinamik untuk meningkatkan kecekapan dan daya tarikan. Garisan waistline yang menonjol seakan bentuk ombak, cermin waterdrop, panoramic glass roof dan lampu belakang LED pula menambahkan lagi ‘seri’ pada rekaan keseluruhan selain model ini turut menawarkan ruang but sehingga 400-liter (dan tambahan 50-liter pada ruang bonet hadapan).
Dari segi prestasi pula, BYD SEAL mampu menyampaikan rangkaian pemanduan NEDC sehingga 650KM bagi memastikan perjalanan yang jauh adalah lebih lancar selain perhentian minimum untuk pengecasan semula. Bagaimana pula dengan prestasi kadar pecutan? Memang sangat membanggakan dengan kadar pecutan daripada 0 – 100 km/j dalam hanya 3.8 saat sahaja (sama kadar pecutan dengan Aston Martin Vantage V12 S, Porsche 911 GT3 992 atau Ford Mustang Shelby GT500!)
Menarik bukan? Sekiranya ada yang berminat untuk mendapatkan BYD SEAL sekarang, terdapat empat warna pilihan yang anda boleh pilih iaitu Cosmos Black, Aurora White, Atlantis Grey serta Biru Artik.
Layari BYD untuk mengetahui lanjut atau baca artikel kami BYD Seal vs Tesla Model 3.