Biar Betul? Sifu Trading Malaysia Mampu Miliki Jet Peribadi Bernilai Ratusan Juta?
Definisi berjaya itu luas, tapi jika di Malaysia berjaya itu bermaksud kaya. Entah kenapa sudah menjadi satu trend di Malaysia apabila seseorang usahawan itu berjaya mesti dia akan pamerkan segala jenis harta kekayaan yang dimiliki. Terbaru, seorang ‘sifu trading’ juga mencuba tektik pemasaran yang sama iaitu kalau nak nampak berjaya, kena tayang harta walaupun sebenarnya hanya sewa!
Lebih memalukan, ayat motivasi yang digunakan oleh golongan sebegini juga hampir sama. Gaji dulu-dulu mesti tak lebih RM 2,000, hidup dahulu mesti susah, tak lupa juga petik nama rezeki dan tuhan selain janji manis untuk bantu mereka yang pernah senasib dengannya sebelum ini. Sudah-sudah la tu, memalukan kaum bangsa sendiri sahaja. Ada ke orang yang percaya?
Mungkin betul dia boleh jana berjuta ringgit, mampu membeli rumah banglo dan kereta mewah (Ferrari atau Lamborghini itu wajib ada). Namun, betul ke dia mampu memiliki jet peribadi yang mana harganya boleh mencecah ratusan juta ringgit? Untuk pengetahuan, jika dilihat pada gambar ‘sifu’ ni, jet peribadi yang ‘dimiliki’ itu adalah jenis Gulfstream G550 yang bernilai lebih RM 200 juta! Itu tidak termasuk kos penyelenggaraan, gaji krew, insurans dan sewaan hangar. Kalau betul la kan, memang orang ni antara yang akan dicari Lembaga Hasil.
Netizen Malaysia memang pantas buat kerja. Akhirnya ‘kejayaan’ sifu ini tidak lama selepas beberapa netizen mula menjelaskan bahawa jet peribadi Gulfstream itu sebenarnya didaftarkan di bawah nama Tutor Perini Corporation di Amerika Syarikat dan pada ketika itu jet tersebut berlabuh sekejap di lapangan terbang Subang dan Kucing sebelum menyambung penerbangan ke Dubai. Selepas itu ramai juga yang tolong sifu ni buat edit yang lebih gempak. Siap masukkan superyacht lagi.
P/S: Nasib baik dia tak cakap yang dia mampu memiliki roket Falcon 9 SpaceX. Elon Musk pun tak pernah sembang kaya macam ni. Tinggi sangat cita-cita dia kan?