BEREBUT PARKING PUNYA PASAL, AKHIRNYA SATU LORONG KENA SAMAN RM 30K.

Hidup berjiran akan aman kalau dapat jiran yang memahami, bertolak ansur dan hormat antara satu sama lain. Namun jika ada jiran yang suka buat hal dengan peraturan sendiri, memang pening kepala. Akhirnya masing-masing bermasam muka dan sering bergaduh walaupun dengan hal kecil.

Sama seperti apa yang berlaku di Cheras, Selangor apabila beberapa penduduk telah bergaduh sesama sendiri akibat berebut ruang meletak kenderaan yang akhirnya menyebabkan satu lorong kena saman sampai RM 30,000!

Menurut laporan, kejadian itu bermula apabila salah seorang penduduk telah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada jirannya yang lain kerana telah ‘cop’ tempat letak kereta di tepi jalan lorong tersebut dengan meletakkan penghadang plastik atau apa-apa halangan sebagai ‘tanda’.

Sumber imej: hmetro.com.my

Justeru itu, individu terbabit telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kajang, yang kemudiannya telah mengeluarkan amaran kepada unit terlibat. Bagaimanapun, konflik itu ternyata tidak selesai apabila ada individu lain yang mengadu tentang hal yang hampir sama, namun kali ini berkaitan dengan kenderaan yang diparkir di hadapan rumah mereka pula.

Disebabkan masalah itu tidak selesai, maka beberapa pegawai penguatkuasa telah hadir ke kawasan perumahan itu dan mereka telah bertindak dengan memberikan denda berjumlah RM 30,000 kepada kesemua penduduk yang tinggal di kawasan terlibat. Walaupun ahli majlis perbandaran, Tan Kah Hoe turut turun padang untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun malangnya beliau kecewa kerana kesemua penduduk masih menunjukkan keengganan mereka untuk berkompromi. Kiranya mereka masih degil dan mempertahankan hak masing-masing (walaupun tempat letak kenderaan itu bukan milik mana-mana individu pun).

Sumber imej: thereporter.my

Jadi, sebagai penyelesaian, pihak penguatkuasa turut meminta supaya mana-mana penduduk yang didenda boleh membuat rayuan tetapi dengan syarat mereka haruslah mengemukakan bil utiliti untuk membuktikan mereka tinggal di lot tertentu. Kiranya, kalau menetap di rumah No 30, tapi parkir kereta di depan rumah No 4, maka orang itu akan kena denda.  Iyalah, kalau nak ada 10 kereta sekalipun, pastikan parkir di kawasan hadapan rumah sendiri, bukan dengan mengambil hak orang lain dan meletakkan penghadang sebagai ‘cop parking’ sesuka hati. Akhirnya, semua terkena!

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.