Aston Martin Bakal Reka Kereta Dengan Tema JDT
Jenama kereta ternama dunia, Aston Martin, telah mengumumkan tentang kerjasama mereka bersama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam. Dengan kerjasama terbaru ni, Aston Martin bakal mengeluarkan rekaan edisi terhad dengan menggunakan tema JDT. Bangga tak orang Johor?
Dalam satu kenyataan media, pihak JDT berasa sangat bangga dengan kerjasama tersebut. Malah, ianya juga dilihat sebagai satu peluang untuk memberikan nilai kewangan kepada JDT serta membuka peluang baharu kepada JDT, Johor serta Aston Martin Racing Asia pada masa akan datang.
Bagi peminat bolasepak kelab lain, mungkin anda tertanya kenapa Aston Martin pilih JDT? Sebenarnya kerjasama ini dilihat sebagai kerjasama antara juara. Di mana JDT adalah juara Liga Super tujuh kali berturut-turut. Sementara Aston Martin pula merupakan juara perlumbaan Le Mans Endurance 2020. Jadi secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa JDT yang diterajui oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) mampu melangkah jauh dengan mempunyai hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, organisasi serta entiti perniagaan.