Akibat Terganggu Dengan Bunyi Kenderaan, Lelaki Bina 11 Bonggol
Apa anda rasa kalau rumah anda berada betul-betul sebelah jalan dan hampir setiap malam tidur anda terganggu akibat bunyi bising kenderaan yang lalu-lalang? Bagi seorang lelaki bernama Roslam yang berasal dari Padang Luas, Jerteh, Terengganu ni, dia rasa sangat marah dan tidak tenang sehinggakan dia membina 11 bonggol dalam jarak tak sampai 40 meter! Lagi parah, bonggol yang dibina tu jadi terlalu tinggi sampai hanya kereta pacuan empat roda je yang lepas. Marah sangat ni. Nasib baik dia tak susun batang kelapa atas jalan.
Selepas kejadian itu tular, lelaki yang berusia 40 tahun itu mengaku kesilapannya dan memohon maaf selepas pegawai polis datang kerumahnya dan menasihati beliau untuk segera membuang bonggol-bonggol tersebut. Menurut lelaki berkenaan juga, dia menghabiskan sehingga RM1,080 daripada wang i-Sinar KWSP semata-mata untuk membina kesemua bonggol itu. Boleh tahan rakyat Malaysia ni. Hari tu tular guna duit i-Sinar beli gelang emas, sekarang guna untuk buat bonggol pulak.
Bila disiasat, rupanya perkara ni terjadi akibat rasa tidak puas hati yang sudah lama terpendam antara Roslam dan juga lagi seorang individu yang digelar Cikgu Li. Menurut Roslam, Cikgu Li ni suka memandu laju apabila menggunakan jalan tu. Malah dia turut memberitahu dia sudah beberapa kali meminta Cikgu Li untuk memperlahankan kenderaan apabila melalui jalan tersebut.
Tapi, apabila ditanya kepada pihak Cikgu Li pula, dia berkata yang mustahil dia laju sebab sebelum ni memang jalan di sebelah rumah Roslam itu sudah mempunyai dua bonggol. Selain itu, Cikgu Li juga berkata bahawa sebelum membina 11 bonggol, Roslam pernah meletakkan batu di tengah-tengah jalan, duduk di tengah jalan sambil mengacukan batang ubi malah Roslam juga pernah mengacukan parang padanya.
Akhirnya, pergaduhan mereka berakhir dengan Roslam berniat untuk menutup terus jalan tu yang kononnya jalan tu dibuat atas tanah milik ibunya. Manakala Cikgu Li pula dalam proses nak bina jalan baru kerana dia tak mahu memanjangkan persengketaan antara mereka.
Kiranya, dua orang jiran ni dah lama tak sebulu. Plot twist drama mereka ni mengalahkan drama Melayu kan? Jangan la gaduh-gaduh. Kita kan nak masyarakat hidup harmoni. Susah senang bersama. Betul tak?