Adakah Kereta Elektrik (EV) Betul-Betul Selamat Untuk Alam Sekitar? ATAU Kita Sebenarnya Ditipu?
Jika melihat kepada trend di seluruh dunia, rata-rata banyak negara sudah mula mengutamakan kenderaan elektrik (EV). Katanya kereta elektrik lebih bagus, lebih jimat dan lebih selamat untuk bumi dan alam sekitar. Tapi, adakah itu semua benar atau sekadar satu teknik pemasaran oleh ‘tauke’ kereta elektrik seperti Elon Musk?
Sebenarnya tanpa kita sedar, otak kita seperti telah ‘digodam’ untuk percaya bahawa kereta elektrik adalah selamat untuk semua. Namun sebenarnya banyak lagi perkara tersembunyi yang kita tak tahu tentang masa depan kenderaan elektrik. Apa yang kita tahu hanyalah kononnya kita boleh jimatkan kos minyak (walaupun kos caj elektrik pun bukannya murah), fungsi autopilot yang sangat canggih serta penggunaan kereta elektrik adalah sangat mesra alam. Mesra ke?
Jika dilihat dengan lebih mendalam, kenderaan elektrik pun sebenarnya tidak mesra alam seperti yang dicanang. Malah, banyak kajian yang dilakukan di luar negara melaporkan bahawa kenderaan elektrik akan terus mencemarkan udara, memusnahkan ekosistem dan melakukan lebih banyak kemudaratan dalam jangka masa panjang – terutama sekali kepada mereka yang paling kerap terdedah.
Secara ringkasnya, walaupun kenderaan elektrik menyingkirkan pelepasan petrol, kebanyakan kerosakan kepada kualiti udara bukan datang daripada asap. Ia dari tayar. Ya, karbon dioksida tidak lagi dilepaskan apabila kereta tidak lagi membakar gas, tetapi kereta elektrik masih mengandungi tapak dan pad brek yang, apabila haus, pecah menjadi zarah-zarah kecil yang merosakkan kualiti udara.
UBAH RON95 KEPADA RON98 DENGAN X-1R OCTANE BOOSTER:
Bukan itu sahaja.
Bagaimana dengan litium, nikel dan kobalt sebagai tiga komponen utama dalam bateri boleh dicas semula? Jika mengikut definisi, kesemuanya adalah daripada sumber yang tidak boleh diperbaharui. Tetapi sekurang-kurangnya mereka bukan minyak, bukan? Tapi tahukah anda, separuh daripada kobalt dunia berasal dari Republik Demokratik Congo (DRC) di mana dianggarkan 40,000 kanak-kanak seawal tujuh tahun bekerja di lombong dengan hanya $1-2 sehari (kurang RM 10 sehari).
Kanak-kanak ini tidak diberi sarung tangan atau topeng walaupun sentuhan kobalt secara langsung boleh membawa maut. Tuntutan 2019 yang dibawa ke atas banyak syarikat termasuk ikon kereta elektrik Tesla mendakwa syarikat dengan sengaja memperoleh sumber dari kawasan yang mempunyai buruh kanak-kanak dan mereka juga dituduh sebagai syarikat yang tidak berperikemanusiaan. Sekali lagi, bayangkan apa yang akan berlaku kepada komuniti ini jika permintaan untuk kobalt terus meningkat. Tanpa sedar yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin ditindas.
Jadi sekali lagi, adakah ianya betul-betul selamat atau ia sekadar gimik pemasaran untuk ‘menggemukkan’ poket ahli usahawan yang kononnya sangat sayang pada alam sekitar? Hanya kita yang mampu mengubahnya.
P/S: Jom jadi macam Menteri Malaysia. Mereka ada bagi saranan supaya rakyat Malaysia berbasikal untuk ke pejabat. Bagus untuk kesihatan dan boleh jimat!