8 Spesis Manusia Bila Parking Kenderaan Di Malaysia
Wahai pengguna jalanraya di Malaysia. Sila prihatin dan peka sedikit dengan keadaan sekeliling. Ingat, bukan anda seorang yang memiliki kenderaan atau bayar cukai jalan di Malaysia. Jadi, masa nak parking kenderaan tu,tolong la berhemah sikit. Jangan jadi macam 8 spesis manusia yang tak reti parking seperti di bawah ni:
1. Satu Parking Untuk Semua
Selalu terjadi kan? Dari jauh nampak petak parking macam kosong. Sekali ada motosikal. Spesis macam ni, barangkali pada hari tu dia terlupa yang dia bawa motosikal, sebab selalunya dia bawa kereta je. Lagi sakit hati, ada banyak je ruang untuk parking motosikal berdekatan. Tapi MALAS punya pasal, lantak la orang lain pusing cari parking tempat lain. Sama juga dengan kereta. Pun selalu je kita nampak kereta parking kat petak motosikal.
2. Rabun
Yup! Kadang-kadang kita akan jumpa sebuah kereta, tapi sampai tiga petak parking dia sapu. Nak kata dia tak nampak garisan petak parking tu mustahil. Kalau dia buat di kawasan yang tak ramai orang tu boleh dimaafkan lagi. Bayangkan kalau terjadi di kawasan yang parking terhad? Sangat puas hati kalau nampak kereta yang parking macam ni kena clamp tayar.
3. Cop Parking
Buruk sungguh perangai orang yang suka cop parking ni. Memang muka tak tahu malu. Boleh pulak dia berdiri dalam petak parking dan halau kita jika cuba untuk masuk dalam petak parking tu. Sebenarnya ramai tak tahu bahawa perbuatan cop petak parking (termasuk berdiri atas petak parking/letak kerusi/letak apa-apa objek dan sebagainya) merupakan kesalahan dibawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Manakala hukuman bagi pesalah membawa kepada penalti sehingga RM 2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan. Jika anda ada rakam gambar atau video sebagai bahan bukti dan nak buat laporan pun boleh. Emel sahaja ke aduantrafik@jpj.gov.my bersama butir pengadu, lokasi, tarikh dan masa, serta butiran kejadian. Mudah bukan?
4. Double Parking
Antara perkara yang paling buat kita sakit hati ialah walaupun parking berlambak di kiri kanan jalan, tapi disebabkan malas nak jalan jauh sesetengah pemandu sanggup double-park kereta betul-betul di hadapan kedai yang dia nak singgah. Lagi satu pula spesis double-park di kawasan sesak, tapi tak tinggalkan nombor telefon. Lagi parah, kereta siap gear P, dengan brek tangan pun ditarik. Habis macam mana pemandu kereta lain nak keluar. Bila di tekan hon pun orangnya masih tak muncul, maka di situ akan ada beberapa kejadian tak diingini bakal berlaku.
5. Parking OKU
Sakit hati bila lihat pada gambar di atas. Sudahlah salah guna petak parking OKU, siap dia sapu dua petak sekaligus! Manusia spesis ni bukan seorang dua, tapi berlambak. Nak kata kurang keupayaan dari segi fizikal, nampak macam okey je. Kalau kurang keupayaan otak mungkin la kot. Sebab tak mampu nak berfikir dengan waras dan bertimbang rasa pada warga OKU yang sebenar. Biasanya, spesis yang naik kereta mewah yang kantoi buat perangai macam ni. Betul ke? Eh, orang JPJ pun ada?
6. Rampas Parking Orang Dan Guna Ayat “Awak Kenal Saya Siapa?”
Siapa pernah jumpa spesis ke-6 ni memang akan sakit hati melampau. Pernah terjadi pada diri sendiri di sebuah hospital. Masa tu dah bagi signal sebab ada kereta nak keluar, sekali ada kereta dari belakang dengan lajunya terus masuk dan buat-buat tak nampak. Kita tanya elok-elok kenapa ambik parking saya? Sekali dia jawab, “Awak kenal saya siapa?”. Walhal dia tu entah si dungu planet mana pun tak tahu. Tapi bajet ala-ala YB.
7. Parking Asal Muat
Orang yang parking macam ni adalah samada orang ni jenis terdesak atau kurang cerdik. Bila parking rapat tersepit macam tu, jadi macam mana dia nak keluar? Dari kiri kanan pintu sah-sah tak boleh. Jadi adakah dia akan keluar melalui bonet? Kesian kereta sebelah, pun bakal menghadapi kesukaran untuk masuk ke dalam kereta.
8. Parking Depan Rumah Jiran
Parking depan rumah jiran ni memang selalu menjadi isu di kawasan perumahan yang agak sesak, lebih-lebih lagi kawasan rumah teres. Boleh sebenarnya nak parking depan rumah jiran jika hanya untuk sementara waktu, itupun dengan meminta kebenaran mereka terlebih dahulu. Namun malangnya ramai yang tidak peka dan tidak kisah bergaduh dengan jiran. Sebab itu orang kata beli sesuatu ikut kemampuan diri. Kalau kawasan rumah sempit, tak perlu beli kereta banyak. Hidup biar bersederhana asalkan tidak menyusahkan orang ramai.