50 Kenderaan Mewah Bernilai RM11.4 Juta Disita Akibat Tiada AP Di Pelabuhan Klang
Akibat tidak mempunyai permit import (AP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah telah bertindak dengan menyita 50 kenderaan mewah menerusi Ops Bearing 2022 yang dijalankan di sekitar Pelabuhan Klang. Dalam operasi itu, sebanyak 41 kereta mewah serta sembilan motosikal berkuasa tinggi telah disita dan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai sekitar RM 11.4 juta.
Mengikut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, kesemua kenderaan mewah ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1957 atas kesalahan mengimport barangan larangan seperti syarat yang telah ditetapkan dalam Permit Import (AP) oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurut beliau lagi, kesemua kenderaan yang terlibat dibawa dari pelbagai negara termasuk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Sweden. Malah, ada juga kenderaan yang diimport itu dibawa masuk oleh pelajar antarabangsa di institut pengajian tinggi di negara ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan seumpamanya, boleh terus menghubungi pejabat JKDM di seluruh negara atau menghubungi talian bebas tol di 1-800-88-8855.