Dalam hampir semua filem aksi, pasti akan ada adegan kejar-mengejar yang mendebarkan bukan? Tapi antara banyak-banyak selebriti filem aksi, yang mana satu paling banyak musnahkan kenderaan dalam filem lakonannya? Di sini kami ingin kongsikan penyelidikan yang dilakukan oleh Scrap Car Comparison dan mari kita lihat siapa pemandu paling bahaya di Hollywood. Adakah Dwayne ‘The Rock’ Johnson, Tom Cruise atau Daniel Craig sebagai perisik 007 termasuk dalam 5 tempat teratas? TIDAK!
5. Keanu Reeves
• Jumlah bilangan kenderaan yang dirosakkan (dalam filem): 30
• Yang dia pandu sendiri (dalam filem): 21
Cukup terkenal sebagai John Wick, nama Keanu Reeves sudah tidak asing lagi sebagai salah seorang lagenda Hollywood yang disegani. Sepanjang lakonannya, dia telah berjaya memusnahkan 30 kereta dalam enam filem dan dalam filem John Wick sahaja dia sudah memusnahkan 17 kenderaan, termasuk lima motosikal. Antara filem lain yang menyumbang kepada jumlah kenderaan yang dimusnahkan ialah The Watcher (2000) dan juga Speed (1994) bersama pelakon cantik, Sandra Bullock.
4. Matt Damon
• Jumlah bilangan kenderaan yang dirosakkan (dalam filem): 35
• Yang dia pandu sendiri (dalam filem): 11
Pelakon berusia 52 tahun ini sering dilihat sebagai seorang yang serius maka tidak hairanlah jika pemilihan filemnya kebanyakannya termasuk dalam kategori filem aksi. Lihat sahaja Elysium (2013), Ford v Ferrari (2019) atau Ocean’s Eleven, semuanya ialah filem aksi lakonan Matt Damon. Namun antara filem yang melonjakkan namanya sudah tentu Jason Bourne yang mana dalam siri filem Bourne sahaja, Damon telah memusnahkan sebanyak 35 buah kenderaan.
3. Arnold Schwarzenegger
• Jumlah bilangan kenderaan yang dirosakkan (dalam filem): 52
• Yang dia pandu sendiri (dalam filem): 30
Antara ikon filem aksi paling terkenal era tahun 80-an, nama Arnold Schwarzenegger sudah tidak asing lagi dalam kalangan peminat filem Hollywood. Schwarzenegger berjaya memusnahkan kereta dalam 14 filem lakonannya yang mana 13 daripada kemusnahan kereta itu berlaku dalam filem Terminator 3 (2003) sahaja. Antara filem lain yang menyumbang kepada jumlah kemusnahan kenderaan ialah The 6th Day (2000), Last Action Hero (1993) dan Terminator 2: Judgement Day dan Terminator (1984).
2. Bruce Willis
• Jumlah bilangan kenderaan yang dirosakkan (dalam filem): 60
• Yang dia pandu sendiri (dalam filem): 35
Bruce Willis merupakan pelakon prolifik era 90-an dan kebanyakan filem lakonannya memaparkan dia merosakkan banyak kenderaan termasuk Hudson Hawk (1991), Striking Distance (1993), 6 Blocks (2006) dan RED (2013). Namun yang paling ketara adalah dalam siri filem Die Hard, termasuk A Good Day to Die Hard (2013) yang menjadi filem di mana Bruce Willis memusnahkan paling banyak kenderaan. Sekurang-kurangnya 18 kereta termasuk Lamborghini dimusnahkan dalam filem itu sahaja dan adegan kejar-mengejar MRAP Moscow turut mencatat sejarah sebagai antara adegan termahal.
1. Vin Diesel
• Jumlah bilangan kenderaan yang dirosakkan (dalam filem): 61
• Yang dia pandu sendiri (dalam filem): 57
Vin Diesel telah berjaya mengambil mahkota sebagai raja pemusnah kereta, dengan peranannya sebagai Dominic Toretto dalam siri filem Fast and Furious telah membuatkan dia memusnahkan sebanyak 61 kereta di atas skrin. Antara penyumbang terbanyak datangnya daripada Fast Five (2011) yang menyaksikannya memusnahkan 30 buah kereta, contohnya seperti dalam adegan dia mengheret peti besi dalam bandar semasa aksi rompakan. Memang sesuai sangat namanya Diesel.