5 KEMALANGAN BAS TERBURUK DI MALAYSIA. ADAKAH KECUAIAN MANUSIA PUNCANYA?

Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan berita tentang kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas bas yang dinaiki oleh mereka telah terbabas di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Tasik Banding, Perak. Susulan kejadian tersebut, pelbagai spekulasi yang timbul dan rata-ratanya menyalahkan si pemandu bas berkenaan yang kononnya ‘arif dan berhemah’ namun mempunyai berbelas saman berkaitan kesalahan memandu laju.
Adakah ini kes pertama atau pernah berlaku sebelum ini? Di sini kami sertakan beberapa kemalangan ngeri melibatkan bas yang berlaku di Malaysia dan anda nilailah sendiri:
1. November 2003 : KM68 Jalan Lipis – Merapoh: 14 Maut.

Tanggal 23 November 2003, satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah bas Ekspres Mutiara telah bertembung dengan sebuah bas sekolah sehingga menyebabkan 14 mangsa maut dan 30 orang cedera. Menurut Menteri Kerja Raya pada ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu telah menolak andaian bahawa kemalangan ngeri itu berpunca daripada struktur jalan raya kerana ia berlaku di jalan raya yang lurus. Menurut maklumat lain, punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu bas Ekspres Mutiara yang cuba memotong tiga kenderaan sekali gus sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan bas sekolah dari arah bertentangan.
Punca Kemalangan: Kecuaian pemandu bas.
2. Ogos 2007 : KM229 Lebuh Raya PLUS Bukit Gantang, Perak: 20 Maut.

Antara kemalangan paling ngeri dengan angka kematian sehingga 20 orang adalah kemalangan sebuah bas ekspres dua tingkat milik Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Sdn Bhd. Bas ekspres tersebut yang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Butterworth dikatakan menuruni laluan berbukit sebelum terbabas lalu merempuh penghadang jalan dan batu besar di tebing sebelah kiri jalan dan akhirnya terjunam ke dalam parit sedalam lima meter. Sebelum kejadian, beberapa saksi melihat bas itu dipandu secara tidak stabil (ke kiri dan kanan jalan beberapa kali) dan punca kemalangan mungkin disebabkan oleh pemandu yang mengantuk dan terlelap semasa memandu.
Punca kejadian: Pemandu terlelap/kecuaian.
3. Disember 2009 : KM272.8 Lebuh Raya PLUS Ipoh, Perak: 10 Maut.

Sebuah bas dua tingkat Sani Express dari Klang ke Kangar telah merempuh besi penghadang jalan di KM272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Jelapang. Dalam kejadian malang itu, bas tersebut telah membawa 48 penumpang di mana 10 antaranya telah terkorban (penumpang bahagian bawah) akibat kecuaian pemandu bas yang mengaku terlelap ketika memandu.
Punca Kejadian: Kecuaian pemandu bas.
4. Ogos 2013: KM3.6 Jalan Genting Highland-Kuala Lumpur: 37 Maut.

Kemalangan bas dengan angka korban tertinggi di Malaysia adalah dalam tragedi yang berlaku pada 21 Ogos 2013 di KM3.6 Jalan Genting Hinghlands menuju ke arah Kuala Lumpur. Dalam siasatan awal, bas itu membawa sebanyak 53 penumpang, yang mana muatan tersebut sudah melebihi had yang ditetapkan. Kesannya, 37 nyawa terkorban manakala 16 orang lagi cedera apabila bas dipandu laju ketika menuruni kawasan berbukit yang berselekoh sehingga menyebabkan ia hilang kawalan dan merempuh tembok penghadang sebelum terhumban dan melanggar batu besar di dalam gaung sedalam 60 meter. Selain itu, rumusan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) turut mendapati bahawa aspek keselamatan, pengurusan pemandu, kenderaan dan pengurusan laluan oleh syarikat bas, Genting Highlands Transport Sdn Bhd juga adalah sangat tidak memuaskan.
Punca kejadian: Kecuaian pemandu bas dan kegagalan syarikat bas dalam mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
5. Jun 2025: KM53 Gerik, Perak: 15 Maut.

Kemalangan bas terbaru yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik beberapa hari lepas telah mengundang simpati dan kemarahan di kalangan rakyat Malaysia, selepas pemandu bas mendakwa punca kemalangan adalah disebabkan oleh brek yang tidak berfungsi. Terdapat beberapa saksi yang juga mangsa yang terselamat di dalam kemalangan tersebut mendakwa pemandu bas tidak memperlahankan kelajuan walaupun diminta pelajar selain mereka juga mendengar pemandu tersebut marah-marah sebelum kejadian.
Siasatan awal mendapati syarikat pengendali bas, Kenari Utara telah melanggar beberapa syarat permit kenderaan termasuk gagal mengaktifkan GPS, selain turut tergamak ‘memajak’ permit kepada pihak ketiga dengan bayaran RM 500 sebulan. Syarikat tersebut mendakwa kenderaan itu telah diselenggara bulan lalu selain pemandu pula seorang yang berhemah dan arif dengan laluan tersebut. Jika berhemah, kenapa ada sampai 18 saman termasuk 13 saman kerana memandu laju? Kenapa masih diberikan tugas untuk memandu bas? Bawa nyawa manusia tau, bukan perabot kayu.
Pada masa yang sama juga, Menteri Pengangkutan, Look Siew Fook turut mengulas tentang kenyataan pemandu yang kononnya ‘brek tidak berfungsi’ namun mereka sedang menunggu laporan forensik untuk membuktikan kenyataan tersebut benar atau tidak. Selain itu, Loke juga berkata menerusi rakaman dashcam oleh kenderaan belakang menunjukkan dengan jelas bas itu sedang memotong dan memecut dengan laju sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah Perodua Alza yang dinaiki empat sekeluarga.
Punca kejadian: Kecuaian pemandu? Brek tidak berfungsi? Pengendali bas yang tidak bertanggungjawab? Kita tunggu laporan siasatan penuh.