4 Tips Penting Sebelum Beli Kereta Terpakai

Sumber imej: oneclicklending.com

Selain kereta yang baharu dikeluarkan, kereta terpakai juga mempunyai peminat tersendiri. Samada si pembeli minat sesebuah model yang sudah dihentikan pengeluaran atau juga mungkin untuk menjimatkan poket. Selain itu banyak juga kereta terpakai yang kelihatan masih baru dan berjenama tetapi sangat murah harganya. Tapi, jangan mudah terpedaya tau. Di sini kami kongsikan empat tip mudah untuk mengelakkan diri anda daripada ditipu sebelum membeli kereta terpakai.

1. Wajib Tahu Nilai Kereta Semasa

Sumber imej: vertumotors.com

Apabila dah tahu kereta terpakai mana yang berkenan di hati tu, benda pertama yang harus dibuat adalah periksa harga semasa kereta tersebut. Pastikan anda bandingkan dengan kereta-kereta lain yang sama model, tahun buatan dan “mileage” kereta. Bukan apa, kadang-kadang kalau harga terlalu murah ni takut kereta tu pernah tenggelam masa musim banjir dulu. Kita kena berhati-hati sebelum membeli untuk mengelak dari kita ditipu.

2. Wajib Periksa Dokumentasi Kereta

Sumber imej: cardekho.com

Mungkin kita rasakan proses periksa dokumentasi kereta ni adalah sesuatu yang remeh. Awas! Proses ini sebenarnya sangat penting kerana anda kena tengok samada nombor casis dan nombor enjin adalah sama dengan yang dicetak di geran kereta supaya anda selamat daripada tersalah beli kereta curi.

Selain itu, anda juga perlu periksa rekod servis kereta, nama pemilik asal dan laporan pemeriksaan supaya anda tahu tahap penjagaan kereta oleh pemilik sebelum. Jika anda nak dapatkan laporan penuh, boleh juga menggunakan perkhidmatan scrut.my sebab anda akan dapat laporan penuh tentang sejarah kereta tu. Mana la tahu anda mungkin terselamat daripada membeli kereta yang pernah terlibat dalam kemalangan teruk.

Sumber imej: blog.scrut.my

3. Wajib Periksa Kereta – Bawa Bersama Orang Yang Arif Tentang Kereta

Sumber imej: simplecarbuyers.com

Kalau nak beli kereta terpakai, anda harus periksa dari pelbagai sudut. Ini kerana selain daripada periksa kereta dari segi luaran dan dalaman, amat penting untuk anda periksa juga sebarang kerosakan teknikal, warna cat kereta serta tahap karat pada bahagian tertentu. Lakukan juga pemeriksaan pada panel badan kereta supaya pastikan ianya sejajar (kiri dan kanan) dan warna cat juga mesti sama untuk mengelakkan anda terbeli kereta yang sudah dicat kembali atau kemek selepas kemalangan.

Bagi mata orang yang kurang arif, memang mereka tidak dapat melihat sebarang kelainan atau perbezaan yang ketara. Tetapi bagi orang yang arif tentang kereta, sekali imbas sahaja mereka sudah tahu jika kereta itu pernah dicat atau diselaraskan semula. “Mileage” pun orang boleh tipu dik oii..

4. Wajib Lakukan Pandu Uji Kereta

Sumber imej: toc.edu.my

Jangan teragak-agak untuk memandu uji kereta ya! Jika ada penjual atau pemilik kereta asal yang kelihatan ragu-ragu untuk membenarkan anda memandu uji keretanya, maka itu adalah salah satu tanda ‘merah’ bahawa mungkin ada sesuatu yang tidak kena tentang kereta itu. Mungkin juga mereka takut kantoi?

Semasa pandu uji, cuba periksa samada gear kereta lancar, brek kereta berfungsi, tayar tidak terasa terangkat apabila memecut selain tidak terasa ‘sangkut’. Jika kereta yang bakal dibeli itu mempunyai banyak komponen elektronik, pastikan juga semuanya dalam keadaan baik dan memuaskan hati. Nak beli kena la setanding dengan harga yang dijual kan?

Apa yang paling penting, sebelum menandatangani sebarang dokumen, periksa juga harga akhir. Ini termasuk bayaran insurans dan kos bayaran untuk sebarang proses pengendalian kertas kerja. Sekiranya anda rasa tak berbaloi atau seperti ditipu, sila tarik diri. Beringat sebelum terkena itu kan lebih baik.

Sumber imej: bestsellingcarsblog.com

 

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.