2020 Mercedes-Benz C200 AMG: Betul Ke Jadi Kegilaan Wanita Elegan dan Berkelas?

Sumber imej: piston.my

Sudah jadi kebiasaan di Malaysia, kita selalu mengatakan andai seseorang lelaki itu mempunyai kereta dengan logo H, pasti menjadi kegilaan gadis-gadis. Tapi bagaimana pula dengan wanita berkemampuan yang mempunyai kerjaya yang hebat dan kelas tersendiri? Bak kata lirik lagu Seksis Anita Sarawak, “Jangan pandangku sebelah mata hanya kerna namaku wanita.” Itu baru betul.

Bagi yang pernah memandu atau merasai sendiri prestasi Mercedes-Benz lebih-lebih lagi kategori C-Class, pasti mengakui yang kereta ini nampak elegan, dengan reka bentuk agak ‘sporty’ dan agak kecil berbanding model Mercedes-Benz yang lain. Senang cerita, reka bentuknya kelihatan ‘evergreen’. Bukan setakat kereta, malah yang memandunya pun akan rasa lebih ‘awet muda’. Itu sebabnya ramai menganggap kereta ini lebih sesuai digunakan oleh kaum wanita. Kenapa?

Sumber imej: automacha.com

PRESTASI:
Untuk model terkini, kereta ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocharged dengan 4 silinder berbanding sebelumnya yang menggunakan 1.5-liter EQ Boost Hybrid. Mempunyai 204hp (kuasa kuda), kereta ini juga mampu memecut daripada 0-60 mph (0-96.5 km/j) dalam masa 7.1 saat. Malah, kelajuan tertinggi yang pernah dicatatkan pula ialah sekitar 250 km/j. Mungkin ada rasa dengan enjin dan prestasi sebegini, kereta ni mesti makan minyak kan? Sebenarnya tak pun. Pembakaran minyak adalah sekitar 5.9 liter hingga 6.3 liter untuk 100 km/j. Kira jimat la tu!

KESELESAAN DALAMAN (INTERIOR):
Kebiasaannya, lelaki memilih kereta berdasarkan prestasi, namun bagi kaum Hawa, mereka lebih memilih keselesaan dan reka bentuk dalaman (interior). Bagi lelaki, tempat letak beg dan barang-barang ni bukan keutamaan sangat. Tapi lain pula bagi wanita. Sebab mereka akan fikir mana nak letak beg atau senang ke tak nak capai? Bagi ibu-ibu pula mereka akan fikir macam mana dengan carseat anak lagi? Senang cerita mereka akan pilih kereta ibarat ‘almari bergerak’. Jadi, adakah kereta Mercedes-Benz C200 AMG ini menepati ciri-ciri pilihan wanita berkelas di Malaysia?


Kebanyakan kereta lain, tempat letak barang yang berada dekat dengan gear tu biasanya agak kecil kan? Oleh sebab itu kaum wanita terpaksa meletakkan beg di sebelah bahagian penumpang atau di kaki. Tapi bagi model kereta ini, gearnya tiada di sebelah penumpang, tetapi berada di bahagian stereng kereta.

Sumber imej: media.mbusa.com

Sebab itu di sebelah pemandu tu mampu memuatkan beg atau tas tangan wanita sehingga saiz sederhana. Kira agak selamat la. Jadi tak perlu susah-susah letak di bahagian kaki yang mana kedudukannya agak susah dan bahaya untuk dicapai.

Sumber imej: paultan.org

Bagaimana kalau tuan empunya diri itu berbadan kecil molek? Jangan risau, sebab bagi kebanyakan kereta seperti model ni, tempat duduknya boleh dilaraskan mengikut keselesaan pemandu. Bagi kebanyakan kereta biasa, selalunya tempat duduk hanya boleh ke depan dan ke belakang sahaja bukan? Tapi bagi kebanyakan model Mercedes-Benz, tempat duduk yang rendah boleh ditinggikan, malah kalau anda rasa stereng agak jauh ke depan, kita boleh laraskan. Maka tiada masalah bagi pemandu yang bertubuh kecil. Maksudnya kita takkan rasa ‘termendap’ ke bawah.

Sumber imej: paultan.org

Bagaimana jika pemilik kereta mempunyai dua anak kecil yang memerlukan dua carseat? Tiada masalah langsung kerana saiz tempat duduk penumpang di belakang juga agak luas. Bagi kebanyakan pemilik di luar negara lebih-lebih lagi Eropah, mereka banyak membuat aduan bahawa tempat duduk belakang agak rendah bagi mereka dengan ketinggian enam kaki. Tapi bagi saiz badan rakyat Malaysia, memang tiada masalah langsung.

Sumber imej: paultan.org

Yang lain-lain memang dah terbaik, cuma satu sahaja ‘kekurangan’ yang terdapat pada model jenis ni, iaitu saiz bonet belakang yang agak kecil sekitar 360 liter. Jika dibuat perbandingan dengan BMW 4 Series dan Audi A5, saiz bonet mereka lebih besar iaitu sekitar 450 liter.

Tapi adakah kekurangan ini akan membuatkan anda di luar sana teragak-agak untuk membelinya? Mungkin harga di pasaran mencecah lebih daripada RM 250 ribu, tapi bagi golongan berkemampuan, harganya memang cukup hebat dan berpatutan. Tapi itu untuk golongan berkemampuan la. Kalau yang golongan biar papa asal bergaya, mungkin kena fikir juga tentang kos penyelenggaraan dan lain-lain. Pakai kereta bukan untuk sebulan dua. Betul tak?

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *