2 Lelaki Hebat Ini Pandu Kancil 660cc Dari Perlis Ke China

Terbaik! Itulah perkataan yang sesuai digunakan untuk dua orang sahabat karib dari Perlis ini apabila mereka membawa cabaran untuk menjelajah dari Perlis sehingga ke sempadan China menerusi Kembara Anak Perlis dengan hanya menaiki dua buah kereta Perodua Kancil 660cc!

Dua sahabat karib itu ialah Rushafizi Indrus, 41, dan Nor Azman Musa, 41, masing-masing merupakan anak jati Perlis dan mereka memulakan kembara itu melalui sempadan Wang Kelian, Perlis menuju ke arah Thailand, Laos dan akhirnya ke Sempadan China. Perjalanan yang dianggarkan sejauh 5,000 kilometer itu dianggarkan akan mengambil masa selama sembilan hari.

Sumber imej: utusan.com.my

 

Jika sebelum ini Rushafizi pernah melakukan pengembaraan ke Laos dengan menunggang motosikal berkuasa rendah pada tahun 2015, kini beliau turut mengajak sahabat karibnya Nor Azman Musa untuk mengembara dengan menaiki Perodua Kancil pula. Selain itu, mereka berdua berharap agar cabaran yang mereka bawakan ini mampu untuk memberikan inspirasi kepada anak muda, selain ingin membuktikan bahawa anak Perlis mempunyai semangat dan jiwa yang kental. Bahkan, mereka juga turut ingin membuktikan kehebatan dua buah kenderaan lama seperti Perodua Kancil 660cc yang mampu untuk sampai ke Sempadan negara China.

Untuk pengetahuan, Perodua Kancil adalah sebuah ‘kereta legend’ rakyat Malaysia. Kereta ini merupakan model pertama keluaran Perodua (Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd) yang muncul secara rasmi pada tahun 1994. Sebenarnya, model ini diasaskan dari Daihatsu Mira L200 kerana Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mahukan sebuah kereta nasional yang kecil dan mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Pada ketika itu, Perodua Kancil ditawarkan pada harga sekitar RM 25,000, dengan varian enjin tiga silinder 660cc yang mampu hasilkan 31 PS dan kotak gear manual empat kelajuan sahaja. Kini, selepas hampir 30 tahun berada di pasaran Malaysia, ternyata kereta Perodua Kancil masih mampu berdiri gah dan menjadi kebanggaan kita. Sebab itu orang panggil ‘kereta legend’ kan?

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.