Lima Sebab Anda Tidak Sepatutnya Menunggang Motosikal

Sebagai penggemar dan pengamal gaya hidup motosikal, kami berasa amat gembira apabila mendapati bahawa semakin ramai yang menunggang, tidak kira motosikal berkapasiti kecil mahupun besar.

Akan tetapi, kita juga sering digegarkan dengan berita sedih bahawa terdapat lagi rakan seperjuangan kita yang telah mengalami kecederaan teruk, mahupun terkorban.

Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya menunggang motosikal sekiranya kita mempunyai tabiat-tabiat seperti di bawah. Sebaliknya, kita harus bersifat jujur terhadap kemampuan sendiri sebagai penunggang motosikal.

1. Tiada disiplin

Pada asasnya, istilah tiada disiplin bermaksud tidak menghormati undang-undang jalanraya. Akan tetapi maksudnya lebih mendalam kerana ia juga merangkumi aspek mempertingkatkan kemahiran diri sendiri.

Motosikal merupakan cara paling senang untuk menghadapi kesakan lalu-linras – sumber imej: autoevolution.com

Tepuk dada tanya selera, kita sebagai penunggang motosikal senang dipengaruhi oleh ego ketika di jalanraya. Daripada ego itulah lahirnya masalah disiplin diri seperti tidak berhenti ketika lampu merah, melawan arah trafik, tidak menggunakan jalan yang ditetapkan, dan lain-lain kelakuan yang tidak diingini lagi. Ingat, keselamatan kita bermula daripada diri kita sendiri.

2. Tidak ingin belajar/Tidak terima teguran

Setiap pengguna jalanraya harus mencari jalan untuk mempertingkatkan kemahiran mengawal kenderaan masing-masing selepas mendapat lesen memandu. Akan tetapi hakikat ini lebih kritikal kepada kita sebagai penunggang motosikal oleh kerana risiko yang kita hadapi adalah lebih tinggi daripada mereka yang memandu.

Tidak mahu mendengar – sumber imej: www.homevalueleads.com

Kita harus mencari jalan untuk belajar cara-cara menunggang yang betul melalui membaca buku atau di internet, serta menerima teguran daripada penunggang yang lebih berpengalaman. Lebih baik lagi jika kita menyertai kelas-kelas menunggang lanjutan.

Lihatlah kepada hero-hero MotoGP kita seperti Hafizh Syahrin, Valentino Rossi, Marc Marquez dan lain-lain lagi. Adakah mereka berhenti berlatih setelah habis suatu perlumbaan?

3. Membeli motosikal yang terlalu berkuasa

Kami tidak melarang anda membeli apa jua jenis motosikal, oleh kerana itu merupakan rezeki serta kemahuan masing-masing. Kami juga faham kita terpaksa memiliki sesebuah motosikal untuk beberapa tahun disebabkan oleh “loan” bank ke atas motosikal tersebut.

Kawasaki ZX-10R – sumber imej: kawasaki.com

Akan tetapi, kita harus fikirkan tahap kemahiran kita sebelum membeli motosikal yang berkuasa tinggi sebagai motosikal pertama; tambah lagi jika kita tidak mahu mengikuti kelas menunggang lanjutan. Menunggang motosikal bukannya berpandukan tahap “confidence” tetapi tahap kecekapan. Kecekapan itu hanya dikecapi hasil latihan dan pembelajaran. Bayangkan betapa bahayanya jikalau kita membeli motosikal yang menghasilkan lebih daripada 200 kuasa kuda walaupun kita tidak pernah menunggang motosikal sebelum ini.

Sebaliknya, kita harus berjinak dengan motosikal yang lebih kecil kapasitinya untuk kita mempelajari cara menunggang yang betul dan kemudiannya “upgrade” kepada motosikal yang berkapasiti lebih tinggi secara beransur-ansur.

Tidak peka kepada persekitaran

Ini bukan bermaksud merosakkan alam persekitaran, tetapi samada kita peka kepada persekitaran kita ketika menunggang.

Keadaan trafik di Vietnam – sumber imej: pioneertravel.com.vn

Jika kita sering rasa dikejutkan oleh kenderaan lain yang seakan muncul entah daripada mana, ataupun sering hampir terlanggar kenderaan di sekeliling kita, itu bermaksud kita tidak mempunyai kepekaan kepada persekitaran kita.

Simptom ini jarang berlaku tetapi kita pernah terserempak dengan penunggang-penunggang motosikal yang seakan-akan khayal di tengah jalan, di kalangan kenderaan yang lain.

5. Berfikiran bahawa motosikal direka semata-mata untuk berlumba

Ini merupakan fikiran yang akan menyebabkan kemalangan dan kecederaan di atas jalanraya.

Merempit merupakan suatu perbuatan yang dipandang jijik – sumber imej: timedotcom.com

Motosikal (tidak kira saiz) merupakan suatu jenis jentera pengangkutan yang bijak, serta gaya hidup yang seronok. Akan tetapi, itu tidak bermaksud kita menunggang seperti hendak memenangi perlumbaan ketika di jalanraya. Sebaliknya, semangat bersaing itu lebih mendatangkan manfaat jike diasah di atas trek perlumbaan.

Kesabaran di tengah lalu-lintas akan menyelamatkan kita daripada kecelakaan mahupun membazir wang (untuk perbaikki motosikal atau membayar bil hospital).

Oleh yang demikian, kita harus sentiasa beringat bahawa menunggang itu berisiko tinggi dan kita harus belajar cara untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kemalangan. Sebenarnya, keseronokkan menunggang motosikal merupakan hasil proses pembelajaran yang tiada kesudahan dan teknik-teknik mengelakkan diri daripada menjadi “makanan” kepada jalan serta kenderaan lain.

Selamat menunggang.

Memotong di antara lorong jalan – sumber imej: wired.com

  • GilgameshLFX
    July 15, 2018 - 9:11 am

    Alasan tak releven. Kesemua “sebab” yg dinyatakan disini tak ada bezanya dengan pemandu kereta.

    1. Disiplin – Pemandu kereta kerap menukar lorong tanpa beri isyarat, membuat pusingan U sesuka-hati, menggunakan lorong kecemasan.

    2.Tidak boleh menerima teguran. – Biasa bila berkait dengan isu (1) bila ditegur, pengunci stering dibawa keluar.

    3. Membeli kereta terlalu berkuasa. – Mazda RX-8, Nissan 370z, BMW 3 series, namun tak tahu mengawal kenderaan. Sesetengah pemandu langsung tak tahu teknik membrek dgn betul. ABS atau tanpa ABS. Kelas memandu tak ajar defensive driving. Sekurang2nya pemandu motorsikal diajar kawalan dan juga asas defensive driving. Kelas kereta tidak diajar sebarang asas defensive driving.

    4. Tidak peka kepada persekitaran. – Kereta ada lebih banyak titik buta maka secara logiknya perlu lebih peka pada titik buta. Namun sebaliknya berlaku. Keluar simpang tanpa melihat keadaan arah bertentangan. MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT SEMASA MEMANDU, TERUTAMANYA PENGGUNA KENDERAAN TRANSMISI AUTOMATIK! Tak mengawal klac dengan betul, menyebabkan kereta melonjak kehadapan, menghentam kenderaan dihadapan. Memotong terlalu hampir sehingga bergesel dengan penunggang motorsikal.

    5. Berfikiran bahawa kerera direka semata-mata untuk berlumba. – Kancil/Myvi turbo, Wira Evo, kenderaan diubahsuai untuk lebih laju tanpa mempertimbangkan keseluruhan kestabilan kenderaan menyebabkan kereta hilang kawalan, jarak membrek menjadi lebih jauh, terlebih oversteer/understeer, menganggu tumpuan pemandu lain (lampu HID Xenon, neon, LED)

    Kecuaian penunggang motorsikal membunuh penunggang. Pemandu hanya rosak kereta. Tapi kecuaian pemandu kereta, membunuh penunggang motorsikal.

    0Vote Up0Vote Down

Your email address will not be published. Required fields are marked *